Shah Firdaus genggam perak dalam acara keirin di Belgium

Shah Firdaus memenangi pingat perak dalam acara keirin lelaki.
Shah Firdaus memenangi pingat perak dalam acara keirin lelaki.
A
A
A
ATLET berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom memastikan Malaysia memperoleh sekurang-kurangnya satu penyudah podium dalam Kejohanan Trek Antarabangsa Belgium (IBTM) di Ghent pada Ahad, dengan memenangi pingat perak dalam acara keirin lelaki.

Pelumba berusia 27 tahun kelahiran Muar itu menyudahkan perlumbaan di belakang Juara Eropah 2022, Sebastien Vigier dari Perancis yang mewakili pasukan Creteil-kronos.

Wakil Skuad Kebangsaan Perancis Luca Priore membawa pulang gangsa, menurut laman sesawang rasmi Berbasikal Trek Belgium.

Biarpun Malaysia menurunkan empat atlet dalam separuh akhir, hanya Muhammad Shah Firdaus berjaya menaiki podium sementara yang lain gagal mendapatkan tempat enam teratas untuk ke final.



Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 Datuk Mohd Azizulhasni Awang berada di kedudukan ketujuh, sementara Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Shahrom masing-masing di tempat kelapan dan ke-10. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!