Kelibat Martial buat Ten Hag dilema

Tahap kecergasan menyukarkan Ten Hag (kanan) untuk bergantung kepada Martial. - Foto Agensi
Tahap kecergasan menyukarkan Ten Hag (kanan) untuk bergantung kepada Martial. - Foto Agensi
A
A
A

DILEMA Erik ten Hag mengenai prestasi dan kecederaan Anthony Martial untuk terus kekal bersama Manchester United pada musim depan.

Jurulatih berusia 53 tahun itu juga mengakui masalah kecergasan Martial menyukarkan untuk bergantung kepada pemain itu.

“Sukar untuk dikatakan kerana sejarah mengatakan berbeza,” ujar ten Hag.

Penyerang Perancis berusia 27 tahun itu berada dalam kesebelasan utama buat pertama kali dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika bertemu Nottingham Forest.

Dia beraksi selama 77 minit dalam tempoh tiga bulan selepas pulih daripada kecederaan, selain hanya turun lapan kali dalam kesebelasan utama bagi aksi liga dalam tempoh dua tahun.

Martial membuat kepulangan yang mengagumkan dalam perlawanan Liga Europa menentang Sevilla Khamis lalu.

Walaupun Ten Hag memuji kebolehannya, namun dia mengakui sukar untuk mengetahui sama ada Martial boleh diharap untuk memberi impak jangka masa panjang bersama United atau sebaliknya.

“Saya mahu dia menghasilkan sesuatu kerana dia seorang pemain yang hebat. Dia mempunyai kualiti untuk bermain bola sepak terbaik dan apabila dia cergas, pasukan kami bermain dengan lebih baik.

“Dia boleh bermain sebagai penyerang utama. Dia juga mampu beraksi di bahagian tengah serta sayap,” ujar Ten Hag.

Kontrak Martial akan berakhir akhir musim depan ketika Red Devils mempunyai pilihan untuk menambah setahun kepada perjanjian tersebut.