Pertempuran tentera Sudan, RSF berlanjutan

Kepulan asap kelihatan dari sebuah kejiranan di Khartoum, Sudan, 15 April 2023. -Foto AP
Kepulan asap kelihatan dari sebuah kejiranan di Khartoum, Sudan, 15 April 2023. -Foto AP
A
A
A

KHARTOUM - Konflik antara tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) berlanjutan hingga Sabtu malam di ibu negara Khartoum, mencetuskan kebimbangan terhadap konflik yang lebih meruncing di negara itu.

Serangan berhampiran pangkalan RSF di selatan Khartoum pada waktu pagi dengan cepat merebak ke kawasan lain di ibu negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum.

Pertempuran berterusan sehingga malam manakala penduduk setempat mendakwa bunyi tembakan dan letupan masih kedengaran, termasuk di sekitar ibu pejabat tentera dan pangkalan lain, lapor Xinhua.

Kedua-dua pihak saling menuding jari antara satu sama lain berhubung tercetusnya konflik.

Abdel Fattah Al-Burhan, komander Tentera Sudan, menuduh RSF menyerang markas tentera di Khartoum, termasuk kediamannya di Komando Am Tentera.

Sebagai tindak balas, Komander RSF Mohamed Hamdan Dagalo mendakwa bahawa pasukan tentera yang memulakan serangan.

RSF dalam satu kenyataan pada Sabtu mendakwa pihaknya telah menguasai istana presiden, Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum dan mempunyai kawalan terhadap lapangan terbang Merowe dan El-Obeid, serta tapak strategik lain di negeri-negeri itu.

Bagaimanapun, tentera Sudan menafikan dakwaan RSF sambil menyatakan "semua lokasi berkenaan berada di bawah kawalan angkatan tentera. RSF menggunakan peperangan psikologi berdasarkan maklumat salah".

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan mengumumkan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum dibatalkan selepas pertempuran berlaku di dalam lapangan terbang itu, menyebabkan dua pesawat milik Saudi Airlines dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu rosak.

Laporan media memaklumkan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh setakat ini.

Jawatankuasa Perubatan Sudan menyeru agar tentera dan RSF untuk menghentikan serangan dan menyediakan laluan selamat untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital.

Pelbagai negara di rantau ini, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir, Jordan, Libya dan Iran telah mengeluarkan kenyataan menggesa pihak-pihak terbabit menghentikan pertelingkahan, mengutamakan dialog, dan melindungi orang awam.

Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul-Gheit menggesa agar pertempuran bersenjata dihentikan serta-merta, mengecam tindakan itu dan meminta pihak yang bertelagah untuk melindungi keselamatan orang awam di Sudan.

Ketegangan antara kedua-dua pihak semakin memuncak sejak Rabu, selepas RSF memindahkan kenderaan pasukannya ke lokasi berhampiran pangkalan udara tentera di wilayah Merowe di utara Sudan, satu langkah yang dianggap tidak sah oleh tentera. - Bernama