Kisah Boestamam dan rumah No. 5

Ahmad Boestamam
Ahmad Boestamam
A
A
A

BANGUNAN usang No. 5 terletak di Jalan Datoh, Ipoh, Perak memiliki sejarah tersendiri di samping menyimpan trivia arwah Datuk Ahmad Boestamam (AB), seorang tokoh politik, wartawan dan sasterawan tersohor tanah air ketika mengendalikan Warta Kinta pada sekitar tahun 1937-1938.

Bangunan batu sederet dua tingkat itu mengandungi tujuh buah rumah terletak sebaris dengan Masjid Paloh yang kini berusia 110 tahun.

Bersejarahnya rumah bernombor lima itu kerana ia bekas pejabat Warta Kinta yang kini kelihatan mereput dan tidak dipedulikan sebagai monumen sejarah kewartawanan di Perak. Warta Kinta ialah surat khabar tempatan yang lahir di rumah ini pada 24 Disember 1937.

Ia kepunyaan seorang pengusaha lombong bijih timah, The Malay Mining Syndicate Ltd. bernama Raja Abdullah Syed Salim yang terpanggil meneruskan sejarah persuratkhabaran Melayu pramerdeka selepas 'kematian' Warta Perak yang sempat bertahan selama enam bulan sahaja.

Walaupun tujuan penerbitan Warta Kinta sebagai bacaan umum tetapi sumbangan ke arah menyuburkan semangat nasionalisme Melayu diberi perhatian utama oleh pengarangnya. Kisah kemunduran orang Melayu yang perlu dibela sentiasa disajikan oleh akhbar tersebut.

Bertulisan jawi 24 halaman dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang sebelum dicetak sendiri oleh Warta Kinta Press Co, Ipoh pada tahun 1938.

Saiznya 10.8 inci x 15.3 inci muncul setiap Jumaat kemudian ditukar kepada hari Selasa. Mulai 1939, Warta Kinta menjadi akhbar harian apabila pengurusannya diambil alih oleh Raja Nordin.

Pada mulanya Warta Kinta dijual 10 sen senaskhah dengan kadar langganan untuk setahun ialah $5.20 atau $2.60 untuk langganan enam bulan, kemudian setelah diubah sebagai akhbar harian, harganya diturunkan kepada 6 sen.

Profesor Hamedi Mohd Adnan dalam bukunya 100 Akhbar Melayu (2015) menyebut Warta Kinta dicetak sebanyak 1,500 naskhah setiap keluaran.

Penerbitan Warta Kinta terhenti pada 10 Mei 1938 tetapi disambung semula pada 25 September 1939. Apabila Jepun menduduki Tanah Melayu, ia menjadi 'mendiang' pada 13 Disember 1941.

Sewaktu era kolonial Jepun, muncul Cahaya Timur menggantikan Warta Kinta sebagai medium propaganda dan akhirnya diubah kepada Perak Timer pada 1943 di bawah pimpinan seorang pengarang berbangsa Inggeris.

ASAL USUL 'BOES'

Keterlibatan AB dengan Warta Kinta kerana dilantik oleh Raja Abdullah menjadi pengarang bergandingan dengan Raja Mansor Abdul Kadir. Namun beliau hanya sempat berkhidmat selama enam bulan. Selepas AB meninggalkan Warta Kinta pada 1938, Raja Mansor kekal berkhidmat sehingga tahun 1939.

Nama asal AB ialah Abdullah Thani bin Raja Kechil kelahiran Behrang Ulu, Tanjong Malim. Nama AB dalam bidang sastera ialah Ruhi Hayat yang digunakan pada 14 buah novelnya manakala nama Ahmad Boestamam digunakan dalam bidang politik dan kewartawanan.

Nama itu mengambil sempena nama seorang tokoh politik India iaitu Subhas Chandra Boes yang dikaguminya kerana cekal berjuang menuntut kemerdekaan India.

AB datang ke Ipoh setelah lulus Special Malay Class pada tahun 1933 dan ditempatkan di Anderson School, Ipoh ketika berumur 11 tahun dan belajar di situ sehingga darjah tujuh.

Gagal peperiksaan Junior Cambridge tetapi lulus QT (Ujian Kelayakan) diikuti OSC (Sijil Persekolahan Seberang Laut) dan Higher School Certificate (HSC) dengan belajar sendiri antara tahun 1963-1967.

Berbekalkan sijil HSC, AB meneruskan pelajaran dalam bidang undang-undang di England tetapi menukar kursus kepada bidang kewartawanan, berjaya memperoleh sijil peringkat diploma dari Premier Journalist School, London pada tahun 1969.

AB mula menulis ketika di Anderson School menghasilkan rencana untuk akhbar Saudara yang diterbitkan di Pulau Pinang ketika berusia 15 tahun manakala menjadi wartawan pada tahun 1937 di akhbar tersebut dengan gaji 15 ringgit sebelum ke Warta Kinta bergaji 25 ringgit. Apabila meninggalkan Warta Kinta, AB memasuki akhbar Majlis di Singapura pimpinan Ibrahim Haji Yaakob (pemimpin Kesatuan Melayu Muda - KMM) dan Abdul Rahim Kajai.

Pada 1941, AB bekerja bersama-sama Pak Sako di Utusan Melayu di Queen Street, Singapura ketika Abdul Rahim Kajai sebagai Ketua Pengarangnya. Apabila Ibrahim Yaakob membeli Warta Malaya, beliau bekerja pula dengan akhbar berkenaan sebagai pemberita.

Sewaktu penaklukan Jepun ke atas Malaya (1942-1945), AB bertugas dengan badan propaganda Jepun (Sesden Ka) sebagai penapis cerita bangsawan Melayu.

DITAHAN

Apabila penjajah British berkuasa semula di Malaya, AB bekerja dengan akhbar Suara Rakyat di Ipoh. Menerusi akhbar berkenaan, beliau menghentam Inggeris sekeras-kerasnya kerana menindas rakyat negeri Perak. Di pejabat akhbar tersebut, tercetus idea untuk menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1945.

Lima bulan kemudian beliau mengasaskan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang menjadi sayap pemuda PKMM dengan slogan perjuangan “Merdeka Dengan Darah”. (Ada setengah rakan beliau memberitahu penulis bahawa API akronim Angkatan Penghalau Inggeris).

Pada Julai 1948, apabila darurat diisytiharkan, parti-parti politik kiri telah diharamkan oleh Inggeris termasuk API. Ramai pemimpinnya ditangkap dan ditahan di bawah akta ISA dan AB tidak terkecuali. Beliau terpenjara sehingga bulan Julai 1955. Ketika dalam tahanan beliau menulis beberapa buah cerpen menggunakan nama pena, Jiwalara.

Sebaik sahaja bebas dari tahanan, AB menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM). Sikap radikal dan menentang arus menyebabkan sekali lagi AB meringkuk dalam penjara ditahan di bawah ISA pada tahun 1963 hingga 1967 dikatakan terbabit dalam konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Namun ada hikmah beliau dipenjarakan kerana AB dapat melahirkan novel Merangkaklah Senja Menutup Pandangan yang menggambarkan pahit getir apa yang dirasainya di dalam penjara. AB tersohor sebagai pemidato yang disegani dan dianggap oleh rakan dan lawan sebagai agitator (pembakar semangat) yang berani.

Pada tahun 1959, AB dipilih sebagai Ahli Parlimen Setapak, Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) mewakili parti Front Sosialis (cantuman PRM dan Parti Buruh) tetapi pada PRU 1974, beliau gagal merebut kerusi Parlimen di Perak atas tiket Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas).

Sebagai sasterawan prolifik, AB telah menghasilkan sebanyak 33 judul novel. Antara judul novelnya ialah Hilang Gelap Timbul Terang (1956), Hayati (1958), Kisah Semalam (1958), Pacar Merah Malaya (1959) dan Lorong Seribu Liku (1964). Buku puisi: Dendang dari Neraka (1967); Esei/kritikan: Imej dan Cita-Cita; Kertas Kerja Hari Sastera 80; Memoir: Merintis Jalan ke Puncak (1972), Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976) dan Memoir Seorang Penulis (1979);

Sesungguhnya di rumah No. 5 yang terbiar itu harus dijadikan premis sejarah kewartawanan dan penulisan negeri Perak oleh mana-mana entiti yang bertanggungjawab bagi menyimpan dan mempamerkan trivia Warta Kinta dan Ahmad Boestamam supaya tidak lenyap ditelan zaman.

*M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)