DigitalBridge dianggar labur RM4 bilion di Malaysia - Anwar

Anwar ketika menerima kunjungan hormat delegasi DigitalBridge. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar ketika menerima kunjungan hormat delegasi DigitalBridge. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Firma infrastruktur digital global, DigitalBridge Group dianggarkan akan melabur lebih RM4 bilion terutama dalam sektor infrastruktur di Malaysia pada penghujung 2023, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, DigitalBridge ialah firma infrastruktur digital yang melabur dalam pusat pangkalan data, menara telekomunikasi dan gentian optik.

"Menurut kertas putih oleh Knight Frank, pertumbuhan infrastruktur digital di Malaysia adalah yang terpantas, dan pusat-pusat data merekodkan 113 megawatt hanya pada tahun 2022, atau empat kali ganda melebihi Thailand,” katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Beliau turut berkongsi gambar mengenai kunjungan hormat yang diterimanya daripada delegasi DigitalBridge tempoh hari.

Anwar menegaskan bahawa beliau akan terus komited dan menekankan kepentingan dalam memastikan ekosistem yang bersih dan kondusif bagi memudah cara sektor perniagaan dan pelaburan di negara ini.

"Ini sebagai sebahagian daripada usaha dan upaya kita memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. #MalaysiaMADANI,” katanya.

Media melaporkan bahawa berdasarkan Kertas Putih Pusat Data Malaysia Knight Frank (Malaysia) Sdn Bhd yang dilancarkan pada Rabu 12 April, Malaysia muncul sebagai destinasi utama untuk pelaburan pusat data dalam kalangan lima negara Asia Tenggara, dengan penggunaan 113MW pada 2022, dan kira-kira 20 peratus pertumbuhan bekalan diunjurkan untuk lima tahun akan datang.

Lima negara itu ialah Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam. - Bernama