100 farmasi komuniti sertai inisiatif Pakej Ubat Farmasi Rahmah

Fuziah (tengah) diiringi Jezlily dan Abdul Aziz menyempurnakan gimik pelancaran Pakej Ubat Farmasi Rahmah di Farmasi AlSyifaa, Kempadang Perdana pada Sabtu
Fuziah (tengah) diiringi Jezlily dan Abdul Aziz menyempurnakan gimik pelancaran Pakej Ubat Farmasi Rahmah di Farmasi AlSyifaa, Kempadang Perdana pada Sabtu
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 100 cawangan farmasi komuniti daripada 16 jenama farmasi di empat negeri telah menyertai inisiatif Pakej Ubat Farmasi Rahmah yang dilancarkan pada Sabtu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, fasa pertama inisiatif itu setakat ini disertai farmasi komuniti dari Pahang, Lembah Kelang, Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya, program itu sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat melibatkan aspek kesihatan melalui pakej ubat di seluruh rangkaian Farmasi Rahmah.

"Pakej ubat Farmasi Rahmah ini menawarkan penjimatan sehingga 50 peratus daripada harga sebenar.

"Jenis perkhidmatan dan ubatan yang ditawarkan tidak ditetapkan sebaliknya bergantung kepada pihak farmasi itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelancaran Pakej Ubat Farmasi Rahmah di Farmasi AlSyifaa, Kempadang Perdana pada Sabtu.

Fuziah (dua dari kanan) mendengar penerangan ringkas oleh Abdul Aziz ( kanan) mengenai pakej ubat yang ditawarkan di Farmasi AlSyifaa.
Fuziah (dua dari kanan) mendengar penerangan ringkas oleh Abdul Aziz ( kanan) mengenai pakej ubat yang ditawarkan di Farmasi AlSyifaa.

Turut hadir Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin dan Pengarah Urusan Kumpulan Farmasi AlSyifaa, Abdul Aziz Jamaludin.

Fuziah berkata, pelancaran pakej itu dilihat kena pada masanya ketika orang ramai sedang melakukan persiapan untuk bercuti sempena Aidilfitri.

"Ubatan antara keperluan yang disediakan ketika bercuti bagi menghadapi kemungkinan deman, batuk, selesema dan sebagainya.

"Melalui inisiatif ini, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan kos orang ramai untuk pulang ke kampung berhari raya," katanya.

Tambah beliau, konsep Farmasi Rahmah akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat tidak hanya kepada pakej ubatan malah produk kesihatan yang lain juga.

"Kita harapkan konsep ini dapat diperluaskan ke seluruh 4,700 farmasi termasuk kira-kira 2,000 farmasi komuniti di seluruh negara," ujarnya.

Beliau berkata, pihak KPDN menghargai kerjasama farmasi komuniti yang terkehadapan bersama kerajaan dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui inisiatif Farmasi Rahmah itu.