Piala FA: Terengganu, Kelantan, KL City mara suku akhir

Mintah (kanan) melakukan percubaan ke pintu gol Melaka FC pada perlawanan pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Mintah (kanan) melakukan percubaan ke pintu gol Melaka FC pada perlawanan pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
A
A
A

NAIB juara edisi 2022, Terengganu FC (TFC) menyingkap kempen Piala FA langkah kanan apabila melakar kemenangan ke atas kelab Liga M3, Melaka FC, 4-0 dalam perlawanan pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus pada Jumaat.

Skuad kendalian Tomislav Steinbrückner bermula garang apabila penyerang import dari Croatia, Ivan Mamut terlebih dulu meletakkan tuan rumah pada minit kelima bagi memimpin perlawanan separuh masa pertama.

Separuh masa kedua skuad Penyu melebarkan jaringan menerusi Hakimi Abdullah pada minit ke-70 untuk kedudukan 2-0.

Jordan Mintah kemudiannya melebarkan jaringan tuan rumah pada minit ke-82 diikuti jaringan masa kecederaaan minit ke-94 bagi mengesahkan kemaraan ke suku akhir menentang Kelantan FC.

Sementara itu, kelab kedua tercorot Liga Super, Kelantan FC tidak berdepan masalah menewaskan kelab Liga M3, Manjung City FC, 3-0.

Dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu, skuad kendalian Frank Bernhardt mengesahkan kemaraan bermula dengan jaringan kapten The Red Warriors, Mario Arques pada minit ke-33.

Dua gol TRW lagi dihasilkan pada separuh masa kedua yang dijelmakan Nuha Marong Krubally pada minit ke-59 dan m-90.

Perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pula, Kuala Lumpur City FC mudah menyingkirkan cabaran kelab Liga M3, Imigresen FC, 2-0.

Gol skuad The City Boys kendalian Bojan Hodak dijaringkan T Saravanan pada minit ke-47 dan Romel Morales minit ke-83.