Cuaca panas di Jeli cecah 40 darjah Celsius

Status cuaca panas di Semenanjung sehingga jam 4.15 petang pada Jumaat.
Status cuaca panas di Semenanjung sehingga jam 4.15 petang pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Daerah Jeli di Kelantan merekodkan cuaca panas pada gelombang haba tahap dua yang suhu hariannya dijangka boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, bermula Jumaat.

Menerusi kemas kini status cuaca panas sehingga jam 4.15 petang Jumaat, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata, 15 kawasan lain di Semenanjung pula berada pada tahap satu iaitu pada kategori berjaga-jaga.

Katanya, ia membabitkan Perlis, Sik, Hulu Perak, Kinta, Batang Padang, Raub, Bentong, Maran, Lipis, Jerantut, Jempol, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Kuala Terengganu.

“Semua kawasan di Sabah dan Sarawak dalam pemantauan," kata MetMalaysia di Facebook rasmi jabatan berkenaan.

Menurutnya, suhu bagi gelombang haba tahap dua itu boleh mencapai maksimum 37 hingga 40 darjah Celsius.

Jelas MetMalaysia, bagi kawasan yang berada pada tahap berjaga-jaga pula, suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celcius dan ia juga dijangka berlarutan sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia pada Rabu mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap satu di Kubang Pasu, Sik, Lipis, Jerantut, Bentong dan Jempol dengan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, fenomena bahang cuaca panas yang melanda Semenanjung negara disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.