MoU Leaptec, Desan terokai perniagaan perkapalan lebih RM2 bilion

A
A
A

Datuk Wira Joey Lim Hock Guan dan Cenk İsmail Kaptanoğlu (tiga dari kiri) di Majlis Menandatangani MoU, disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir (kiri) dan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd Anis Hisham Abd Aziz, dan Naib Pengerusi Limbungan Kapal Desan, Hasan Özgür Çilli (dua dari kiri), di Ibu Pejabat Desan, Istanbul.
Datuk Wira Joey Lim Hock Guan dan Cenk İsmail Kaptanoğlu (tiga dari kiri) di Majlis Menandatangani MoU, disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir (kiri) dan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd Anis Hisham Abd Aziz, dan Naib Pengerusi Limbungan Kapal Desan, Hasan Özgür Çilli (dua dari kiri), di Ibu Pejabat Desan, Istanbul.

SHAH ALAM - Syarikat subsidiari LBS Bina Group Berhad (LBS), Leaptec Engineering Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Desan Deniz Ins. San. A.S (Desan) iaitu sebuah syarikat perniagaan perkapalan terkemuka yang berpangkalan di Istanbul, Turki.

MoU tersebut menyaksikan kedua-dua pihak menjalinkan kerjasama bagi meneroka potensi pelaksanaan pembinaan dan pembangunan perniagaan limbungan pembaikan kapal serta pembinaan kapal dalam tiga fasa dengan anggaran nilai projek melebihi RM2 bilion di Tanjung Bruas, Melaka.

Leaptec dan Desan juga akan meneroka pelbagai peluang kerjasama, sokongan pihak berkaitan, subsidi dan kewangan jangka panjang yang kukuh.

Majlis menandatangani MoU itu Pengarah Urusan Kumpulan LBS dan Leaptec, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan telah menandatangani perjanjian bagi pihak Leaptec, manakala Desan diwakili oleh Pengerusi, Cenk İsmail Kaptanoğlu dalam satu majlis yang diadakan di ibu pejabat Desan, di Istanbul, Turki.

Majlis bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd Anis Hisham Abd Aziz, dan bekas Presiden BIMCO dan Ahli Lembaga Limbungan Kapal Desan, Dr Şadan Kaptanoğlu serta Naib Pengerusi Limbungan Kapal Desan, Hasan Özgür Çilli.

Pengerusi Eksekutif LBS dan Leaptec, Tan Sri Lim Hock San berkata, perjanjian itu merupakan kolaborasi sulung syarikatnya bersama Desan, sebuah syarikat terkemuka Turki di dalam bidang perkapalan.

Delegasi Leaptec diketuai Pengarah Urusan Kumpulan LBS dan Leaptec, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meninjau kawasan limbungan Desan.
Delegasi Leaptec diketuai Pengarah Urusan Kumpulan LBS dan Leaptec, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meninjau kawasan limbungan Desan.

“Kami turut mempertimbangkan pelbagai rakan kongsi untuk bekerjasama dalam membangunkan projek penambakan Melaka dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan Desan.

“Desan amat sinonim dengan sektor pembinaan perniagaan limbungan, pembinaan dan pembaikan kapal, penyelenggaraan, pemodenan, penukaran dan pengubahsuaian semua jenis kapal komersial serta kapal tentera laut.

“Kami optimis bahawa perjanjian perniagaan ini akan menjadi perintis ke arah memakmurkan lagi pertumbuhan industri yang sesuai untuk projek kami di Melaka,”katanya di sini, hari ini.

Desan ditubuhkan pada 1970, merupakan penyedia solusi limbungan kapal Turki terkenal yang terlibat dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan limbungan, pembinaan, penyelenggaraan, serta pembaikan kapal, serta aktiviti-aktiviti berkaitan perkapalan.

Di bawah pimpinan generasi ketiga keluarga perkapalan Kaptanoglu, Desan telah mengembangkan empayar perniagaan pembaikan kapal, dan pembinaan kapal yang meliputi perniagaan luar pesisir, kapal tentera laut, semua jenis kapal tangki, pengangkut pukal, bot tunda dan kapal layar.

Pada tahun 2021, Leaptec telah menandatangani perjanjian reklamasi dan pembangunan dengan kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan tanah seluas 1,200 ekar yang merupakan sebahagian daripada koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi (M-WEZ) meliputi 25,000 ekar di sepanjang pantai negeri Melaka.