Wajib ganti puasa jika berpandukan azan Maghrib awal - Mufti Kedah

Laporan Sinar Harian pada 8 April lalu. (Gambar kecil:Fadzil Awang)
Laporan Sinar Harian pada 8 April lalu. (Gambar kecil:Fadzil Awang)
A
A
A

ALOR SETAR - Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan umat Islam yang berbuka puasa berpandukan kepada azan Maghrib di Masjid Jame’ Badlishah di Pekan Yan, Jerai pada 30 Mac lalu wajib menggantikan puasa atau qada.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat berhubung permohonan maaf pengurusan masjid tersebut kepada jemaah kerana melaungkan azan Maghrib dua minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar.

Menurutnya, walaupun puasa pada tersebut telah terbatal, namun umat Islam yang terlibat tetap mendapat pahala ibadah daripada ALLAH SWT.

"Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah bermesyuarat dan memutuskan, pertama berkenaan dengan azan itu sendiri. Azan bertujuan memberi makluman kepada masyarakat tentang masuknya solat dan di samping mengajak masyarakat untuk mendirikan solat.

“Apabila azan itu berlaku pada waktu Maghrib yang sudah tentu pada waktu yang sama menunjukkan masuknya waktu berbuka puasa.

“Jadi masyarakat terlibat pada waktu itu dengan berpandukan kepada laungan azan tersebut sahaja maka kedudukan puasa mereka pada hari itu, jawatankuasa memutuskan puasa mereka terbatal dan wajib diqadakan,” katanya yang dipetik melalui siaran video di laman media sosial milik Jabatan Mufti Negeri Kedah pada Khamis.

Jelas Syeikh Fadzil, Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah juga memutuskan kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh kecuaian pegawai masjid yang melaungkan azan tersebut.

“Kesilapan yang berlaku kepada muazin didapati kurang teliti, kurang halusi dan kita merujuk kepada hadis Nabi Muhammad SAW bahawa muazin itu, seorang yang diberi kepercayaan sebab itu dia haruslah betul-betul teliti dan halusi sebelum dia melaungkan azan.

“Jadi pada pandangan Jabatan Mufti kesilapan berlaku kepada muazin itu atau mana-mana muazin lain dikirakan sebagai kesilapan akibat kecuaian dirinya sendiri,” ujar beliau.

Pada 8 April lalu, Sinar Harian melaporkan pengurusan Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan memohon maaf kepada jemaah kerana melaungkan azan Maghrib iaitu dua minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac lalu.

Timbalan Pengerusi masjid itu, Ahmad Nasir berkata, puasa jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari masjid tersebut untuk berbuka telah terbatal dan perlu diganti atau qada.