PAAB salur bantuan persiapan Ramadan, Syawal

Zulkiflee (duduk, tiga dari kanan) dan wakil PAAB bergambar bersama pengurusan serta penghuni Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Bukit Antarabangsa pada Rabu.
Zulkiflee (duduk, tiga dari kanan) dan wakil PAAB bergambar bersama pengurusan serta penghuni Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Bukit Antarabangsa pada Rabu.
A
A
A

HULU KELANG - Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memilih dua pertubuhan bagi menyampaikan sumbangan di bawah PAAB Prihatin bersempena Ramadan dan Syawal.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Zulkiflee Omar, berkata, PAAB memilih Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi, Bukit Antarabangsa dan Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara untuk menerima sumbangan berjumlah RM20,000 yang bakal memberi manfaat kepada 71 anak- anak kurang bernasib baik.

Menurutnya, bantuan meliputi sumbangan cek RM3,000 bagi setiap pertubuhan selain baucar beli-belah RM150 setiap seorang, juadah berbuka puasa dan sumbangan duit raya.

Ujarnya, selain itu, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan itu turut menganjurkan kempen Shop & Share yang menggalakkan kakitangan menyumbangkan satu daripada barangan runcit mereka kepada anak yatim.

Zulkiflee menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Bukit Antarabangsa pada Rabu.
Zulkiflee menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Bukit Antarabangsa pada Rabu.

“Antara yang berjaya dikumpulkan termasuk barangan penjagaan diri, tuala wanita, barangan keperluan dapur, pek minuman dan juga sumbangan pakaian terpakai dengan nilai anggaran melebihi RM5,000.

“PAAB berharap sumbangan ini dapat membantu dua pertubuhan berkenaan mengharungi cabaran Ramadan serta mengurangkan beban mereka membuat persiapan dan membeli barangan menjelang Syawal,” katanya pada penyerahan sumbangan PAAB Prihatin di Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Bukit Antarabangsa pada Rabu.

Dalam pada itu, Pengasas Rumah Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi, Aishah Mohd berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada PAAB yang datang membantu dan menyantuni anak-anak di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!