Inter selangkah ke separuh akhir

Barella (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang Benfica. - Foto EPA
Barella (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang Benfica. - Foto EPA
A
A
A

INTER Milan selangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas mencatatkan kemenangan selesa 2-0 ke atas Benfica di Estadio da Luz, Lisbon pada Rabu.

Inter yang juga pemenang tiga kali Liga Juara-Juara itu mendahului suku akhir pertama menerusi jaringan Nicolo Barella pada minit ke-51 dan Romelu Lukaku melalui penalti lapan minit sebelum perlawanan tamat.

Benfica yang menyasarkan untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1990, tidak dapat memberikan tentangan kepada Inter yang mengawal rentak permainan sepenuhnya.

"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain. Kami menikmati perlawanan itu dan kami tahu kami telah mengambil langkah pertama ke separuh akhir.

"Kami akan mengharungi perlawanan timbal balik menentang pasukan yang sebelum ini tidak tewas (dalam Liga Juara-Juara musim ini).

"Pemain-pemain juga berada dalam keadaan terbaik dan kami berhak mendapat kemenangan ini. Tetapi, dalam Liga Juara-Juara kami tahu bahawa ini belum berakhir.

"Benfica adalah pasukan yang berkualiti, sangat kuat. Kami perlu mengulangi perlawanan yang kami mainkan hari ini di Milan," kata pengendali Inter, Simone Inzaghi.