'Bayern dihukum dengan kejam'

Pemain Bayern, Benjamin Pavard (kiri) mengawal bola daripada pemain City, Jack Grealish dalam aksi di Stadium Etihad.- Foto EPA
Pemain Bayern, Benjamin Pavard (kiri) mengawal bola daripada pemain City, Jack Grealish dalam aksi di Stadium Etihad.- Foto EPA
A
A
A

THOMAS Tuchel 'jatuh cinta' dengan Bayern Munich biarpun pasukan kendaliannya itu tewas 3-0 kepada Manchester City dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada Rabu.

Harapan Bayern untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara mungkin sudah boleh dilupakan selepas jaringan besar yang terhasil di Stadium Etihad itu.

Bagaimanapun, gergasi Bundesliga itu menguasai 56 peratus penguasaan bola dan City terpaksa bermain tanpa bola iaitu situasi yang berlaku hanya empat kali di bawah pimpinan Pep Guardiola.

Itu mungkin menjadi penyebab kepada keyakinan Tuchel bergembira dengan kekalahan tersebut yang mungkin akan merugikan pasukan baharunya.

"Saya tidak bersetuju dengan keputusan itu sama sekali. Kami dihukum dalam fasa di mana kami adalah pasukan yang lebih baik. Kami dihukum dengan kejam hari ini.

"Saya fikir persembahan kami sangat baik sehingga kedudukan 2-0. Saya tidak mahu memperkatakan keputusan itu dan saya melihat persembahan yang sangat baik sehingga minit ke-70.

"Saya rasa kami layak mendapat sekurang-kurangnya satu gol dan memberikan lawan lebih daripada dua gol adalah terlalu banyak. Saya rasa pemain kami kurang keyakinan dan prestasi. Sudah tentu, keputusan itu pahit buat kami.

"Namun, saya jatuh cinta dengan pasukan saya hari ini terutama cara mereka beraksi. Walaupun kedengaran pelik, itu sangat menyeronokkan," katanya.