Cuaca, Ramadan bawa rezeki berganda

Muhammad menunjukkan kelapa muda yang akan dipotong untuk mengambil airnya.
Muhammad menunjukkan kelapa muda yang akan dipotong untuk mengambil airnya.
A
A
A

MACHANG - Peniaga air kelapa muda di Jalan Bandar Machang di sini memperoleh rezeki berganda sepanjang Ramadan melalui jualan minuman itu.

Muhammad Hassan, 54, berkata, jualan air kelapa muda meningkat mungkin disebabkan cuaca panas selain minuman itu juga dapat mengembalikan kesegaran badan selepas sehari berpuasa.

Katanya, pada hari biasa, dia menjual lebih 100 biji sehari namun jualan meningkat sehingga 400 sehari sepanjang Ramadan.

"Alhamdulillah, rezeki Ramadan menjadikan juakan saya meningkat mungkin kerana air kelapa muda sentiasa menjadi kegemaran orang ramai

"Saya hanya menjual air kelapa asli yang dicampur sedikit air gula tetapi pelanggan juga boleh meminta air kelapa tanpa gula," katanya ketika ditemui di gerainya.

Muhammad yang sudah lebih sepuluh tahun berniaga air kelapa di lokasi itu memberitahu, bekalan kelapa diambil di sekitar kampung di Kok Lanas.

Proses memasukkan air kelapa sebagai persediaan awal untuk jualan.
Proses memasukkan air kelapa sebagai persediaan awal untuk jualan.

"Kami membeli kelapa segar daripada penduduk setempat setiap dua hari untuk bekalan dalam tempoh itu kerana laris dalam bulan puasa.

"Pada hari biasa saya turut menjual coconut shake tetapi ketika puasa hanya menumpukan kepada jualan air kelapa muda," katanya.

Sepanjang Ramadan, Muhammad memulakan perniagaan pada jam 1 tengah hari sebagai persiapan memotong dan membungkus.

Bagaimanapun katanya, orang ramai mula membeli dan beratur antara jam 3 petang tetapi gerainya dibanjiri pelanggan yang pulang dari kerja kira-kira jam 5 petang.

Menurut bapa kepada sembilan anak itu, gerai air kelapanya turut menjadi pilihan pelanggan dari luar Machang yang mahu mendapatkan air kelapa muda segar setiap hari.

"Saya memilih kelapa kampung yang lebih digemari pelanggan kerana rasanya lebih sedap dan manis," katanya.

Air kelapa yang diisi kelapa muda di gerai Muhammad dijual pada harga RM2 untuk gelas kecil manakala RM5 untuk gelas besar dan plastik.