'Kami janji tak buat lagi'

Tular video di media sosial memaparkan mercun dibaling dari tingkap sebuah kediaman di Cyberjaya pada Isnin.
Tular video di media sosial memaparkan mercun dibaling dari tingkap sebuah kediaman di Cyberjaya pada Isnin.
A
A
A

CYBERJAYA - Tindakan dua pelajar sebuah kolej yang beberapa kali bertindak membaling mercun bola dari kediaman mereka sehingga menimbulkan gangguan kepada penduduk sekitar membawa padah apabila dikunjungi polis di bangunan The Arc Cyberjaya pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, ketika kejadian, dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan di Jalan Persiaran Bistari Cyberjaya.

"Lelaki tersebut mendatangi kedua anggota polis bertugas sebelum memaklumkan terdapat beberapa individu bermain mercun di Bangunan The Arc Cyberjaya.

"Lelaki tersebut kemudian meminta anggota tersebut memberi nasihat kerana tindakan bermain mercun itu menimbulkan gangguan dan ketidakselesaan terhadap penduduk sekitar," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, anggota bertugas kemudian menjalankan pemeriksaan melibatkan kedua-dua individu dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

"Kedua-dua individu tersebut merupakan pelajar lelaki sebuah kolej swasta berumur 20 dan 21 tahun.

"Mereka mengaku bermain mercun jenis bola dan membaling ke bawah, anggota polis telah memberi nasihat kepada kedua-dua individu ini supaya tidak membuat bising di kawasan tersebut," katanya.

Pada Isnin, tular video di media sosial memaparkan mercun dibaling dari tingkap sebuah kediaman di Cyberjaya di sini.

Hantaran yang disertakan video berkenaan turut meminta agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap pelaku terlibat.