MARii lantik Azrul Reza sebagai CEO baharu

Azrul Reza
Azrul Reza
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah melantik Azrul Reza Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya.

Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong berkata, Azrul bakal menerajui MARii menerusi hala tuju baharu dengan penjenamaan yang strategik dan konsisten.

"Dengan pendedahan termasuk pengalaman luas beliau dalam bidang automotif, teknologi dan inovasi, saya yakin Azrul mempunyai keupayaan serta kredibiliti bagi membawa MARii ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Azrul berkhidmat sebagai CEO kumpulan Kumpulan Universiti Putra Malaysia Holdings Sdn Bhd (UPM Holdings), anak syarikat milik penuh Universiti Putra Malaysia.

Beliau mempunyai kira-kira 20 tahun pengalaman dalam dunia korporat selain memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang terutamanya sektor automotif, kewangan dan perbankan, pembangunan modal insan dan perundingan.

Azrul berkata, antara keutamaan utama beliau ialah memastikan hala tuju MARii selari dengan agenda nasional serta mandat yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI).

"Saya percaya bahawa masa depan industri automotif bergantung kepada pembangunan serta promosi teknologi sambil menekankan kepakaran teknikal dan memberikan sokongan kepada syarikat automotif serta vendor tempatan di Malaysia.

"MARii akan terus mengukuhkan rangkaian ekosistem automotif di Malaysia melalui kerjasama erat dengan MITI termasuk pemain industri, universiti dan agensi kerajaan lain," katanya. - Bernama