Pelan tindakan khas kawal pembangunan di muara KTCC

Ahmad Samsuri (dua dari kanan) ketika hadir Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC (Garis Panduan Reka Bentuk Bandar dan Landskap) di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.
Ahmad Samsuri (dua dari kanan) ketika hadir Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC (Garis Panduan Reka Bentuk Bandar dan Landskap) di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Setiap projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di sekitar muara Kuala Terengganu City Centre (KTCC), di sini perlu berpandukan kepada pelan tindakan khas yang diwujudkan kerajaan negeri supaya lebih teratur dan tersusun.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelan tindakan khas muara KTCC itu dimulakan beberapa bulan lalu dan akan dijadikan dokumen panduan utama dalam pelaksanaan perancangan serta kawalan pembangunan kawasan muara KTCC.

Menurutnya, matlamat utama penyediaan kajian di kawasan seluas 255 hektar itu adalah untuk memastikan persekitaran kawasan kajian yang inklusif dan menggalakkan pembangunan sinergi, mampan dan berdaya huni.

"Apa juga yang nak dibangunkan selepas ini, perlulah merujuk kepada pelan tindakan kerana mengambil kira segmen yang telah ditetapkan iaitu perdagangan, warisan dan budaya serta riadah.

"Melalui pelan tindakan itu, kita telah ambil kira susun aturnya, malah ketinggian bangunan juga akan dikawal agar tidak menenggelamkan keindahan Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbridge," katanya selepas Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC (Garis Panduan Reka Bentuk Bandar dan Landskap) di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC kepada tujuh agensi teknikal terlibat iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Turut terlibat adalah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata setakat ini kerajaan negeri tidak berhasrat untuk melabur di kawasan tersebut kerana faktor kewangan tinggi sebaliknya memberi peluang kepada pelabur dan syarikat-syarikat swasta yang berminat.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan mana-mana pelabur yang berminat melaksanakan pembangunan di muara KTCC berpandukan garis panduan reka bentuk bandar dan landskap ditetapkan oleh kerajaan.

"Kalau ada pun, mungkin anak syarikat kerajaan negeri yang akan bekerjasama dengan syarikat swasta membangunkan projek di situ," katanya.