Zuraida dakwa dipecat PBM kerana kecuaian RoS

Zuraida
Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa kegagalan dan kecuaian Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membolehkan Parti Bangsa Malaysia (PBM) memecatnya daripada parti itu yang secara langsung mengakibatkan kerosakan teruk kepada imej serta kerjaya politik beliau.

Melalui afidavit sokongan permohonan semakan kehakiman terhadap RoS, Zuraida mendakwa, kegagalan dan kecuaian RoS menyebabkan beliau dipecat secara tidak berperlembagaan.

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, pemecatan itu tidak sah dan percaya RoS sebagai responden mendaftarkan beliau sebagai Presiden PBM selepas menerima surat pada 27 Oktober tahun lalu.

Katanya, tiada keperluan bagi PBM untuk mematuhi Fasal 14 di bawah perlembagaannya untuk memecat beliau apabila Datuk Larry Sng Wei Shien dikekalkan sebagai Presiden parti

"Saya ingin menegaskan bahawa setelah responden (RoS) menerima surat itu, saya berada di bawah kepercayaan bahawa saya adalah Presiden PBM yang sah dan responden sudah kemas kini senarai ahli jawatankuasa PBM yang berada dalam simpanannya.

"Saya seterusnya menyatakan bahawa RoS tidak pernah memberi sebarang maklum balas kepada saya atau PBM setelah menerima surat bahawa akan mengekalkan Larry sebagai Presiden mengikut senarai terbabit dalam simpanan responden," katanya.

Zuraida menegaskan, menurut rekod dalam simpanan responden, Larry masih dikekalkan sebagai Presiden PBM.

"Saya dinasihati oleh peguam dan sesungguhnya percaya bahawa saya adalah pihak yang terjejas. Saya percaya bahawa kecuaian responden untuk tidak mengiktiraf dan mendaftar saya sebagai Presiden PBM dalam senarai ahli jawatankuasa PBM yang berada dalam simpanannya setelah menerima surat adalah tidak sah dan tidak wajar," katanya.

Afidavit sokongan beliau difailkan firma guamannya, Tetuan Ashmeer Ashrof pada 24 Mac lalu.

Zuraida berkata, pada Persidangan Agung PBM, 1 Oktober 2022, Larry Sng sebagai Presiden PBM ketika itu bersetuju ada transisi atau perubahan untuk melantik beliau yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebagai Presiden PBM kerana parti tersebut memerlukan tokoh lebih besar bagi membawa perubahan positif dalam parti.

Menurutnya, ada persetujuan untuk melantiknya sebagai Presiden PBM atas cadangan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti, Dr Daroyah Alwi ketika mesyuarat ahli majlis berkenaan pada 7 Oktober tahun yang sama.

Ujar beliau, RoS dimaklumkan oleh PBM berkenaan pelantikannya sebagai Presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022 melalui surat PBM bertarikh 15 Oktober 2022 diterima responden pada 27 Oktober lalu.

"Saya adalah Presiden PBM yang dilantik secara sah menurut peruntukan di bawah Perlembagaan PBM. Saya seterusnya menyatakan bahawa menurut Bab VI Fasal 17 (i) dalam Perlembagaan PBM, ia secara jelas menyatakan bahawa PBM hanya mempunyai seorang presiden.

"Ahli PBM bertindak atas kepercayaan bahawa saya adalah Presiden PBM yang sah dilantik menurut peruntukan di bawah Perlembagaan PBM.

"Saya menerima surat daripada PBM bertarikh 19 Disember 2022, yang mana Larry yang mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden sudah menggantungkan keahlian saya menggunakan kuasa Presiden di bawah Bab XIII, Fasal 60 (iii) dalam Perlembagaan PBM," jelasnya.

Zuraida memberitahu, beliau mengambil pendirian untuk tidak menjawab surat itu kerana tidak menganggap tindakan Larry adalah sah kerana peruntukan yang digunakan untuk menggantung keahlian beliau berkait dengan kuasa Presiden sedangkan Larry bukan lagi Presiden PBM.

Kata Zuraida, beliau dimaklumkan melalui siaran berita portal The Star pada 27 Disember 2022 mengenai pemecatannya daripada PBM dan tidak pernah menerima notis atau surat pemecatan tersebut daripada parti.