Tindakan terhadap pemandu tunggu lama di aras ketibaan KLIA

Kawalan penugasan trafik sentiasa dijalankan bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan di KLIA.
Kawalan penugasan trafik sentiasa dijalankan bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan di KLIA.
A
A
A

SHAH ALAM - Bilangan kenderaan dan penumpang dijangka bertambah menjelang sambutan Aidilfitri ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan susulan jangkaan pertambahan kenderaan dan penumpang untuk balik kampung.

"Penugasan trafik telah diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap mana-mana pemandu yang didapati menunggu lama di aras pelepasan dan ketibaan.

"Ini bagi mengelakkan berlakunya gangguan lalu lintas serta kesesakan di kedua lokasi tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, orang ramai diingatkan agar mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

"Elakkan menunggu terlalu lama dalam kenderaan, dan bagi pengguna yang meletakkan kenderaan disaran agar menggunakan kemudahan tempat letak kereta disediakan," katanya.

Ujar Imran, kawalan keselamatan turut dipertingkatkan sepanjang tempoh tersebut.

"Kawalan keselamatan turut dipertingkatkan bagi memastikan urusan orang ramai untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri berjalan lancar," katanya.