Ketua pembantu tadbir, pemilik syarikat ditahan SPRM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua wanita termasuk seorang ketua pembantu tadbir di sebuah jabatan di negeri ini kerana disyaki menyalahgunakan jawatannya dengan menyokong syarikat milik adik iparnya bagi mendapatkan beberapa perolehan pembekalan di jabatan tersebut.

Menurut sumber SPRM, kes salah guna kuasa itu dipercayai telah berlaku sejak 2019 dan melibatkan lebih 10 perolehan pembekalan yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM30,000.

Sumber berkata, suspek pertama yang juga ketua pembantu tadbir berusia lingkungan 40-an ditahan pada 1.45 tengah hari manakala pemilik syarikat berusia lewat 30-an ditahan pada 2.10 petang di pejabat SPRM Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

Kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.