Tarikh bayaran BKKA 2023 diawalkan 14 April

Kerajaan bersetuju tarikh pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan daripada 17 April kepada 14 April ini. - Gambar hiasan
Kerajaan bersetuju tarikh pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan daripada 17 April kepada 14 April ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju tarikh pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan daripada 17 April kepada 14 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed menerusi surat rasmi pada Isnin memaklumkan, perubahan tarikh itu dibuat setelah mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam membuat persediaan bagi menyambut perayaan tidak lama lagi.

“Sukacita dimaklumkan bahawa, mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara Kerajaan Persekutuan dalam membuat persediaan untuk menyambut perayaan tidak lama lagi, kerajaan telah bersetuju untuk membuat perubahan ke atas tarikh pembayaran BKKA Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan daripada 17 April 2023 kepada 14 April 2023.

“Tertakluk kepada penerimaan pakai oleh pihak berkuasa masing-masing, arahan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu surat rasmi pada Isnin.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pemberian BKKA adalah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam membuat perancangan dan persiapan awal bagi menyambut Hari Raya.

BKKA adalah bantuan hari raya bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

Pada 24 Mac, Zulkapli berkata, bahawa penjawat awam dan pesara kerajaan yang layak bakal menerima BKKA 2023 pada 17 April ini.