Pekerja dobi didakwa ugut bunuh isteri

Chandramohgan ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.
Chandramohgan ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Pekerja dobi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin, atas tuduhan mengugut mahu membunuh bekas isterinya gara-gara berebut rumah.

P. Chandramohgan, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah menakutkan bekas isterinya S.Wairavi, 44, dengan ugutan untuk membunuhnya kerana mangsa enggan menandatangani surat perjanjian pertukaran hak milik rumah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Mas Merah Jaya pada 1 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh beserta syarat tambahan.

Chandramohgan yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan itu diringankan kerana hanya menyimpan RM2,000 untuk wang jaminan dan perlu menanggung empat orang anak.

Mahkamah kemudian bersetuju membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa dalam apa jua cara sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 17 Mei depan sebagai sebutan semula kes.