Isu permohonan pengampunan Najib bukan pendirian kerajaan

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Isu permohonan pengampunan Diraja ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, ia ekoran isu berkenaan bukan pendirian kerajaan sebaliknya pendirian UMNO sebagai sebuah parti politik.

"Kita kena bezakan kerana isu itu adalah pendirian UMNO sebagai parti politik, bukan pendirian kerajaan.

"Untuk adil kepada menteri UMNO, ia tak pernah dibawa ke (mesyuarat) Kabinet, jadi ia bukan pendirian kerajaan," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 bahagian termasuk Wanita dan sayap Pemuda dan Puteri.

Sementara itu mengulas mengenai surat yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berhubung pelanggaran kod etika membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Ghazali, Anthony menegaskan, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan oleh jemaah menteri.

Terdahulu Azalina menerusi kenyataan menjelaskan, pelanggaran itu dikenal pasti menerusi kesimpulan dalam laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).