Syamsul, Puteri Sarah hadir prosiding status JKP

Syamsul Yusof, Puteri Sarah Liyana
Syamsul Yusof, Puteri Sarah Liyana
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelakon, Puteri Sarah tiba di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada jam 9.04 pagi Isnin, bagi sebutan permohonan tuntutan cerai terhadap suaminya, pengarah, Syamsul Yusof.

Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin hadir dengan memakai jubah putih dan ditemani keluarganya.

Ibu kepada sepasang anak ini berkata, dia berdebar menunggu prosiding di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas berhubung status proses Jawatankuasa Pendamai (JKP), yang dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), 24 Mac lalu.

"Semalam, ibu bapa mentua saya mendoakan agar prosiding ini dipermudahkan," katanya.

Sementara suaminya yang juga Pengarah filem 'Mat Kilau', tiba lebih awal iaitu jam 8.57 pagi dengan ditemani peguam syarie, Azmi Mohd Rais.

Pengarah berusia 38 tahun itu kelihatan segak dengan mengenakan kot hitam sempat berseloroh dengan para wartawan yang menunggu di lobi mahkamah.

Untuk rekod, Syamsul, 38 dan Puteri Sarah, 38, berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.

Pada 7 Mac lalu, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas kemudiannya memerintahkan pasangan itu untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.