Puteri Sarah mungkin fail nusyuz terhadap Syamsul - Peguam

Puteri Sarah berkemungkinan akan memfailkan nusyuz terhadap Syamsul. - Foto Bernama
Puteri Sarah berkemungkinan akan memfailkan nusyuz terhadap Syamsul. - Foto Bernama
A
A
A

GOMBAK - Selepas Syamsul Yusof memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya Puteri Sarah, pelakon 'Andai Itu Takdirnya' berkemungkinan untuk mengambil tindakan sama ke atas pengarah filem 'Mat Kilau' itu.

Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, pihak isteri boleh mengambil langkah itu pada suami, namun beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkannya.

"Kita akan uruskan, atur perkara yang akan dibuat dan jika berlaku, ia akan dikendali ikut undang-undang.

"Dalam masa terdekat ini, kita akan memasukkan pembelaan terhadap nusyuz (oleh Syamsul), kemudian kita tengok nak masukkan tuntutan balas atau nusyuz kepada pihak sana pula," katanya selepas sebutan kes nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini.

Untuk maklumat, seorang suami boleh disabitkan dengan nusyuz sekiranya mengabaikan nafkah zahir, batin, menyuruh isteri melakukan perkara yang bertentangan hukum syarak, memukul isteri dan tidak berlaku adil (bagi yang berpoligami).

Bagaimanapun, penalti atau hukuman yang boleh dikenakan kepada suami yang nusyuz adalah bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.

Pada 21 Mac lalu, Syamsul, 39, memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.

Dia mendakwa Puteri Sarah sering menghubungi bekas kekasih yang berstatus suami orang, sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.