TFC diingat kembali ke dunia nyata

Pemain TFC fokus menjalani latihan sebagai persediaan menentang Kuching City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad. - Foto: FacebookTerengganu FC
Pemain TFC fokus menjalani latihan sebagai persediaan menentang Kuching City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad. - Foto: FacebookTerengganu FC
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) diingatkan supaya tidak terus dibuai dengan kemenangan besar 5-0 ke atas Kelantan FC dalam derbi pantai timur Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 4 April lalu.

Sebaliknya pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner menasihatkan pemain meningkatkan mutu permainan apabila berdepan Kuching City FC pada Ahad.

Malah katanya, pemain juga perlu memanfaatkan kelebihan di laman sendiri bagi meraih kemenangan ketiga berturut-turut sekali gus memperbaiki kedudukan liga.

"Saya sentiasa beritahu pemain supaya kerja keras dan tidak mudah berasa selesa dengan kemenangan lepas.

"Kita mesti sentiasa jaga prestasi. Cuba elakkan kesilapan kecil dan tak masuk akal. Selepas menang dua perlawanan, kini kita rasa lebih baik dan yakin untuk menang ke atas Kuching City FC," kata pengendali kelahiran Croatia itu pada sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pemain TFC tenang menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai persediaan berdepan Kuching City pada Ahad. - Foto: FacebookTerengganu FC
Pemain TFC tenang menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai persediaan berdepan Kuching City pada Ahad. - Foto: FacebookTerengganu FC

Dalam masa sama Steinbruckner menegaskan masih belum memuktamadkan kesebelasan utama yang akan diturunkan kerana beberapa tonggak utama berdepan kecederaan.

Bagaimanapun dia memberi jaminan tidak akan melakukan rombakan besar selepas berpuas hati dengan aksi dijelmakan skuad yang diturunkan ketika membelasah The Red Warriors.

"Sony Norde ada masalah kecederaan...hamstring. Saya tak pasti sama ada beliau boleh bermain esok.

"Bagaimanapun, perkara paling penting semua pemain sudah bersedia dan kami bagus sebagai satu pasukan," katanya.

Sementara itu, tonggak import TFC, Jordan Mintah yang meledak dua gol untuk skuad Penyu musim ini, berharap rakan sepasukannya dapat mengekalkan semangat berpasukan yang tinggi.

Katanya sikap mementingkan diri akan merugikan pasukan dan menghampakan harapan penyokong yang inginkan kemenangan.