Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis khatam al-Quran, tahlil

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran dan Tahlil untuk Almarhum Sultan Ahmad Shah serta Almarhum Sultan Abu Bakar di Masjid Jamek Chenor, Maran pada Sabtu. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran dan Tahlil untuk Almarhum Sultan Ahmad Shah serta Almarhum Sultan Abu Bakar di Masjid Jamek Chenor, Maran pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

MARAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat Pahang dan Bacaan Tahlil untuk Almarhum Sultan Ahmad Shah serta Almarhum Sultan Abu Bakar di Masjid Jamek Chenor di sini pada Sabtu.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda-anakanda Seri Paduka berdua.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 6.20 petang disambut oleh barisan pentadbiran negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Majlis khatam al-Quran dan bacaan Yasin dipimpin oleh Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2003, Datuk Ahmad Faizul Ghazali manakala Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman memimpin bacaan tahlil.

Pada majlis itu, Seri Paduka berdua juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan yang memerlukan sebelum berbuka puasa dengan penduduk daerah Maran di perkarangan masjid.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, yang merupakan Sultan Pahang kelima, mangkat pada 22 Mei 2019 di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur manakala Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang keempat, pula mangkat pada 5 Mei 1974 di Pekan. - Bernama