Rapid KL masih wajibkan penumpang pakai pelitup muka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang awam kurang peka arahan Rapid KL yang masih mewajibkan pengguna pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam tren dan bas.

Rapid KL menerusi kemas kini di Facebooknya mengingatkan pengguna kemudahan berkenaan untuk mematuhi peraturan tersebut.

"Anda disarankan untuk sentiasa mematuhi peraturan ketika menggunakan pengangkutan awam demi keselesaan bersama," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sementara itu, rata-rata pengguna bersetuju dengan langkah keselamatan yang diguna pakai perkhidmatan awam tersebut.

Pemilik akaun Facebook, Ammirul Nazri memohon supaya Rapid KL mengambil tindakan terhadap pengguna yang mengambil mudah peraturan tersebut.

"Sila ambil tindakan. Terlalu ramai yang tak memakai pelitup muka. Kalau benda ini bukan kewajipan, maka ramai yang tidak akan pakai. Tren 236 bersepah-sepah (tak pakai pelitup muka)," tulisnya di ruangan komen.

Lucy Primz pula memaklumkan, terdapat pengguna yang masih berdegil walaupun telah ditegur secara baik oleh polis bantuan yang sedang bertugas.

"Semakin ramai tidak memakai pelitup muka, polis-polis bantuan sudah menegur secara baik tetapi penumpang yang masih degil. Lokasi KL Sentral-Gombak- KL Sentral," ujarnya.

Komen Lucy mendapat balasan daripada pihak Rapid KL yang berjanji untuk meningkatkan hebahan kewajipan pemakaian pelitup muka menerusi pengumuman di dalam tren.

"Kami sedia maklum berkenaan isu ini dan berusaha untuk tingkatkan kekerapan pengumuman di dalam tren, serta peringatan melalui platform sosial media untuk beri kesedaran kepada penumpang," menurut Rapid KL.

Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan berkuasa kuasa 7 September tahun lepas seperti diumumkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika menyandang jawatan Menteri Kesihatan.

Bagaimanapun Rapid KL masih mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam bagi menjaga keselamatan pengguna yang bersesak menggunakan kemudahan tersebut khususnya pada waktu puncak.