Wajar anjak cuti sekolah jika raya jatuh pada 21 April

Terdapat keperluan untuk KPM kaji semula hari permulaan cuti sekolah sempena Aidilfitri sekiranya perayaan itu jatuh pada 21 April ini.
Terdapat keperluan untuk KPM kaji semula hari permulaan cuti sekolah sempena Aidilfitri sekiranya perayaan itu jatuh pada 21 April ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat keperluan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula hari permulaan cuti sekolah sempena Aidilfitri sekiranya perayaan itu jatuh pada 21 April ini.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, Jasni Md Kechik berkata, perkara itu juga berdasarkan kepada pandangan ibu bapa yang mahu anjakan tarikh baharu bagi memudahkan rancangan perjalanan selain memastikan keselamatan warga guru dan pelajar terjamin.

"Saya harap KPM melihat kembali supaya cuti Aidilfitri diawalkan dan tarikh itu (permulaan cuti) diberi pada hari Rabu (19 April).

"Saya faham mungkin ada sekolah yang sudah ambil cuti peristiwa, namun ia masih boleh selaraskan semula untuk pastikan sekolah tertakluk kepada 190 hari persekolahan (setahun).

"Tidak perlu ambil cuti peristiwa sampai empat hari kalau nak (cuti) hari Rabu sebab hari persekolahan akan jadi 189 hari. Maka sekolah hanya perlu ambil cuti peristiwa sebanyak tiga hari sahaja," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjangkakan negara-negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan.

Dalam pada itu Jasni berkata, cuti bagi semua sekolah di Malaysia bermula 20 April ekoran jangkaan tarikh 1 Syawal pada 22 April berdasarkan jadual asal yang dikeluarkan KPM.

Namun beliau menjelaskan, perkara tersebut masih boleh diubah sekiranya terdapat keperluan kecemasan seperti pertikaian tarikh 1 Syawal.

"Semasa buat takwim persekolahan, memang KPM berbincang dengan persatuan di peringkat awal dan ia dalam pengetahuan kita.

"Tetapi bila berlaku kes kecemasan seperti ini, kena lihat semula ikut keperluan sebab kita mahu elak perkara sama berlaku seperti tahun lepas.

"Mungkin juga menteri (Fadhlina Sidek) boleh umum (cuti awal) tetapi ia tetap tertakluk kepada jumlah hari persekolahan," ujarnya.