Sindiket bekal PATI guna pelekat PLKS palsu tumpas

Sekumpulan PATI ditahan kerana menggunakan pelekat palsu PLKS dalam serbuan JIM pada 5 dan 6 April.
Sekumpulan PATI ditahan kerana menggunakan pelekat palsu PLKS dalam serbuan JIM pada 5 dan 6 April.
A
A
A

SHAH ALAM - Helah sindiket membekal pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan pelekat palsu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang didalangi warga asing akhirnya tumpas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM4.5 juta hingga RM5 juta setahun hasil kegiatan haram itu tersungkur apabila diserbu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM serta dibantu oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan, Putrajaya.

Beliau berkata, operasi khas yang dijalankan pada 5 dan 6 April itu menyerbu sebuah kilang dan asrama pekerja asing di Selangor, selain menggeledah pejabat operasi sindiket terletak di Brickfields, Kuala Lumpur.

Dalam serbuan itu kata beliau, pasukan operasi menahan 65 orang PATI melibatkan 43 orang lelaki warganegara India, 20 orang lelaki warganegara Bangladesh dan dua lelaki warganegara Pakistan yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun.

Sebahagian pasport dirampas JIM dalam serbuan dijalankan pada 5 dan 6 April melibatkan sindiket membekal PATI menggunakan pelekat PLKS palsu.
Sebahagian pasport dirampas JIM dalam serbuan dijalankan pada 5 dan 6 April melibatkan sindiket membekal PATI menggunakan pelekat PLKS palsu.

"Dalang utama sindiket yang merupakan seorang lelaki warganegara India turut berjaya ditahan.

"Hasil semakan awal mendapati suspek yang berusia 45 tahun itu memegang Pas Ekspatriat yang tulen," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Ruslin, hasil soal siasat dan pengakuan daripada suspek tersebut, pasukan operasi bergerak ke Seremban dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang merupakan orang kanan sindiket.

Menurut beliau, semakan mendapati suspek yang berusia 30 tahun itu menggunakan PLKS untuk bergerak bebas di negara ini.

Kata beliau, modus operandi sindiket adalah menubuhkan syarikat yang membekal dan menawarkan tenaga kerja asing kepada majikan serta kilang yang memerlukan pekerja.

Jelas beliau, sekiranya dipersetujui, sindiket akan membekalkan pekerja asing tadi yang telah diberikan pelekat PLKS palsu.

"Ini bertujuan supaya majikan atau kilang mempercayai bahawa mereka merupakan pekerja yang sah berdasarkan pelekat yang tertera di pasport.

"Sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM6,000 untuk setiap pekerja warga asing yang ingin mendapatkan PLKS bagi membolehkan mereka bekerja di kilang tersebut.

Seorang petugas JIM meminta seorang PATI membuka sebuah premis yang dipercayai digunakan membuat pelekat palsu PLKS.
Seorang petugas JIM meminta seorang PATI membuka sebuah premis yang dipercayai digunakan membuat pelekat palsu PLKS.

"Sementara majikan atau kilang yang menggunakan pekerja asing ini perlu membayar gaji pekerja kepada syarikat sindiket berkenaan," katanya.

Dalam operasi itu kata beliau, pihaknya turut merampas 62 pasport terdiri daripada 40 pasport India, Bangladesh (20) serta Pakistan (2) yang di dalamnya terdapat pelekat PLKS palsu serta lapan keping pelekat PLKS palsu yang belum dilekat pada pasport.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta AMLATFPUAA 2001.

"Mereka semua ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"JIM komited untuk membanteras keberadaan PATI di negara ini dan akan meneruskan penguatkuasaan undang-undang serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol melindungi PATI," tegasnya.