Depan gerai jual lemang, belakang jual ganja

Zaidy (tengah) menunjukkan ketulan ganja yang dirampas dalam serbuan terbabit pada Rabu.
Zaidy (tengah) menunjukkan ketulan ganja yang dirampas dalam serbuan terbabit pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis berjaya membongkar helah seorang peniaga lemang yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja di belakang gerai di rumahnya, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, tindakan lelaki berusia 62 tahun itu terbongkar hasil intipan dan risikan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Katanya, ketika serbuan pada jam 6 petang itu, peniaga terbabit sedang berurusan dengan pelanggan lelaki, berusia 33 tahun di belakang gerai.

"Pemeriksaan lanjut berjaya menemui 17 ketulan ganja mampat di dalam beg berwarna biru dalam gerai terbabit yang dianggarkan seberat lebih 18 kilogram (kg) bernilai RM45,125," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, suspek berusia 33 tahun itu juga ditahan kerana dipercayai pelanggan yang mengambil bekalan ganja untuk pasaran tempatan.

"Polis turut menahan dua pekerja lelaki berusia 18 dan 20 tahun selain menyita sebuah kereta bernilai RM39,800 serta wang tunai RM550," katanya.

Zaidy berkata, semakan rekod mendapati, peniaga lemang itu mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala suspek kedua yang tidak bekerja itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek pertama dan kedua direman bermula 6 hingga 12 April manakala dua lagi suspek direman bermula 6 hingga 10 April.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952," katanya.