Dunia 'membisu' serangan di Masjid Al-Aqsa

Raja Bahrin
Raja Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Masyarakat dunia terutama negara-negara Islam yang didakwa menjalinkan hubungan dengan Israel dilihat seolah-olah membisu terhadap insiden serangan yang berlaku di Masjid Al-Aqsa.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, tindakan polis Israel menyerbu tempat suci itu sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam merupakan provokasi serta penghinaan terhadap umat Islam di seluruh dunia.

"Amat mengecewakan apabila seluruh dunia seolah memekakkan telinga dan membisu mengenai insiden Masjid Al-Aqsa, amat memalukan, terutamanya dari negara-negara Islam jiran yang baru-baru ini menjalinkan hubungan dengan Israel.

"Jika status keramat masjid ketiga tersuci di dunia tidak disifatkan cukup suci untuk dipertahankan, ia sememangnya mencerminkan semangat dan perpaduan Islam yang amat menyedihkan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Ujar beliau, sikap Amerika Syarikat yang hanya sekadar menyuarakan 'kebimbangan' mereka terhadap insiden itu namun tidak melakukan sebarang sekatan ke atas Israel amat mengecewakan umat Islam.

"Dunia sepatutnya simpati terhadap penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini kerana mereka (rakyat Palestin) hanya ingin menunaikan kewajipan agama di masjid berkenaan.

"Tindakan menggunakan kekerasan dalam mana-mana rumah ibadat tidak kira dalam apa keadaan sekalipun adalah perbuatan terkutuk dan tidak boleh dimaafkan.

"Bayangkan jika ini berlaku kepada Synagogue atau gereja di Israel, kutukan akan menjadi sangat keras dan meluas di seluruh dunia," katanya.

Dalam pada itu, Raja Bahrin berkata, tindakan menyerang umat Islam dan melakukan keganasan di Masjid Al-Aqsa seolah menjadi kelaziman oleh pihak berkuasa Israel setiap kali Ramadan.

"Sudah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk bersolat hingga larut malam terutamanya di Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan.

"Selepas bertahun-tahun, Israel harus tahu dan faham tentang kewajipan umat Islam ini dan bertindaklah dengan pemahaman dan sikap belas terhadap sesama manusia," ujar beliau.

Rabu lalu, polis Israel menyerang puluhan jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis mengakibatkan tujuh daripada mereka cedera sementara 200 rakyat Palestin ditahan.

Serbuan itu dilakukan sebelum masuk waktu Subuh dengan polis Israel mendakwa mereka bertindak balas terhadap 'rusuhan'.