Jangan main-main kalau isteri dah tawar hati...

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

UMUMNYA di Malaysia, bila sebut tentang cerai, ramai memandang sinis dan yang sering menerima impak negatif hasil sudut pandang itu adalah wanita yang menuntut cerai atau diceraikan.

Itulah yang berlaku kepada rakan Merak Jalanan bila dia memfailkan penceraian di mahkamah pada bulan yang mulia ini.

Ramai menentang termasuk ahli keluarga sendiri dengan alasan kasihan anak-anak, nanti apa orang lain cakap, jagalah aib suami dan macam-macam lagilah.

Namun, rakan Merak Jalanan tak peduli semua itu. Dia bukan suka-suka nak dapatkan title janda tapi katanya, kalau suami terbukti ada skandal dan kemudiannya menghalalkan skandal tersebut tanpa pengetahuannya, lupa tanggungjawab kerana seronok bersama isteri baharu, dia tak mahu pasrah dan reda sahaja.

Menangis dan menyalahkan takdir tak akan selesaikan masalah. Nampaknya, rakan Merak Jalanan dah terinspirasi dengan keberanian pelakon Diana Danielle dan Puteri Sarah.

Dia nekad minta cerai walaupun si suami tak setuju, dengan alasan masih sayang, masih tetap mahu mengikat dan membelenggu si isteri yang sudah tidak rela itu. Maka, bermulalah episod turun naik mahkamah mereka selepas ini.

Jangan main-main apabila isteri telah tawar hati. Kalau dahulu pandangannya lekat sentiasa di wajah suami, kini memandang muka suami pun dah tak sudi.

Bagi Merak Jalanan, jika perkahwinan tak membahagiakan dan tak boleh nak diselamatkan, maka patutlah diusahakan cara untuk melepaskan dengan sebaiknya, bukannya dibiarkan digantung tak bertali.

Tak salah berpoligami jika masing-masing rela, suka dan bahagia tanpa ada unsur penipuan. Ini tidak, tahu-tahu sahaja sudah nikah satu lagi di Thailand.

Ingatlah, perkahwinan itu bukanlah yang indah-indah dan manis-manis belaka. Perkahwinan melibatkan tanggungjawab dan kesetiaan.

Ia akan jadi beban seumur hidup yang tragis lagi sadis jika kita mendapat pasangan yang musibat.