PM terima kunjungan hormat Setiausaha Jawatankuasa Guangxi

Anwar pada Khamis menerima kunjungan hormat Setiausaha Jawatankuasa Guangxi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Guangxi, China, Liu Ning dan delegasi di Putrajaya. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar pada Khamis menerima kunjungan hormat Setiausaha Jawatankuasa Guangxi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Guangxi, China, Liu Ning dan delegasi di Putrajaya. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menerima kunjungan hormat Setiausaha Jawatankuasa Guangxi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Guangxi, China, Liu Ning dan delegasi di Putrajaya.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata, pada pertemuan tersebut, pencapaian perkongsian sinergi di bawah inisiatif ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ dalam menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana aktiviti hiliran kepada komuniti perniagaan tempatan adalah antara yang dibincangkan.

"Kunjungan hormat ini merupakan sebahagian daripada program lawatan rasmi TYT Liu Ning ke Malaysia bagi meraikan sedekad pencapaian hubungan usaha sama dalam pembangunan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP).

"Kedua-dua taman perindustrian ini telah dibangunkan berlandaskan konsep ‘Dua Negara, Taman Berkembar’, di mana MCKIP merupakan taman perindustrian pertama yang dibangunkan secara bersama di luar negara oleh China,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pada pertemuan itu juga, beliau turut menekankan tentang peranan Taman Perindustrian Berkembar dalam meneruskan usaha untuk mengukuhkan kerjasama merentasi industri menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi.

Di samping itu, katanya, bidang strategik lain termasuk industri hijau, perdagangan barangan halal dan minyak sawit yang akan memberikan faedah kepada kedua-dua negara.

"TYT Liu Ning turut menjemput syarikat Malaysia untuk melabur di CMQIP bagi mengakses pasaran China menerusi taman perindustrian tersebut.

"Kerajaan Wilayah Guangxi juga menawarkan pelbagai insentif untuk menarik pelaburan dari syarikat Malaysia dalam sektor yang berpotensi tinggi,” katanya.

Untuk rekod, MCKIP mencatakan pelaburan terkumpul bernilai RM30.1 bilion untuk 19 projek dan mewujudkan lebih 17,000 peluang pekerjaan sepanjang dekad yang lalu. - Bernama