Misi ping pong buru emas di Kemboja

Fong Ling (dua, kiri) dan Lee Wei (dua, kanan) bersama atletnya Wong Qi Shen (kanan) serta Alice Chang Li Sian ketika sidang akhbar Kontinjen Sukan SEA 2023 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.
Fong Ling (dua, kiri) dan Lee Wei (dua, kanan) bersama atletnya Wong Qi Shen (kanan) serta Alice Chang Li Sian ketika sidang akhbar Kontinjen Sukan SEA 2023 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

SKUAD ping pong berada pada prestasi terbaik untuk mengalas cabaran negara memburu pingat emas pada Sukan SEA Kemboja bulan depan.

Pengurus pasukan, Kang Fong Ling berkata, keyakinan itu berdasarkan persiapan rapi pemain ketika mengadakan latihan bersama pemain Korea Selatan dan Taiwan selain menjalani latihan di China.

Katanya, para pemain juga bakal menguji kemampuan dengan skuad ping pong Jepun yang akan berkunjung ke negara ini minggu depan.

"Persiapan kali ini dilakukan dengan lebih baik berbanding Sukan SEA edisi lalu di Hanoi apabila dunia berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Semua negara melakukan persiapan. Saya percaya saingan kali ini lebih sengit, lebih-lebih lagi dari pesaing kita Singapura dan Thailand," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.

Hadir sama jurulatih, Beh Lee Wei dan dua atlet Wong Qi Shen dan Alice Chang Li Sian.

Fong Ling memberitahu, skuad itu juga meraih kejayaan membanggakan apabila Alice dan Qi Shen mara ke separuh akhir Kejohanan Ping Pong Dunia (WTT) di Turkiye bulan lalu.

"Malah lebih menggembirakan Qi Shen mengalahkan seteru tradisi, Singapura pada peringkat suku akhir," katanya.

Dalam pada itu, Lee Wei memberitahu, sesi latihan bersama rakan sepelatih dari luar negara memberi impak positif kepada atlet daripada aspek keyakinan, taktik dan teknik.

Katanya, para pemain berdepan dengan ramai rakan sepelatih berkualiti, berbeza kemahiran serta teknik permainan dan ia menjadi pengalaman berguna buat atlet negara.

"Keyakinan atlet semakin baik. Teknik permainan juga bertambah bagus. Ia satu peningkatan yang drastik dan sangat positif," katanya.

Pada Sukan SEA di Hanoi lalu, kem ping pong negara meraih satu perak dan empat gangsa.