Video lelaki guna bahan kimia segarkan sayur berlaku di luar negara

Video tular kononnya seorang lelaki menggunakan larutan kimia untuk menyegarkan kembali sayuran berdaun yang layu.
Video tular kononnya seorang lelaki menggunakan larutan kimia untuk menyegarkan kembali sayuran berdaun yang layu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Video tular kononnya seorang lelaki menggunakan larutan kimia untuk menyegarkan kembali sayuran berdaun yang layu, tidak berlaku di Pasar Selayang, Selangor sebaliknya berlaku di luar negara, menurut Jabatan Pertanian.

Jabatan Pertanian yang mengesahkan perkara itu dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku di luar negara berdasarkan daripada bahasa yang digunakan dan nombor pendaftaran motosikal dalam video itu.

Siasatan Jabatan Pertanian mendapati video asal berkenaan telah dimuat naik dalam saluran YouTube pada 23 Julai 2021 oleh saluran Telugu di bawah nama Mana Family Trends.

"Jabatan Pertanian menasihatkan orang awam untuk tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tersebut dan menafikan kejadian tersebut berlaku di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular di laman sosial video berdurasi satu minit 45 saat mengenai seorang lelaki menunjukkan bagaimana larutan kimia boleh menyegarkan kembali sayuran berdaun yang layu.

Dalam video yang didakwa dirakam di Pasar Selayang itu, sayur daun berkenaan kembali segar setelah dikeluarkan dalam rendaman larutan kimia dan sayuran itu dijual oleh pelarian Rohingya. - Bernama