'Saya reda apa sahaja keputusan mahkamah' - Syamsul

Syamsul (kiri) ditemui selepas prosiding kes nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Khamis.
Syamsul (kiri) ditemui selepas prosiding kes nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Khamis.
A
A
A

GOMBAK - Pengarah filem 'Mat Kilau' Syamsul Yusof reda dengan sebarang keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kes permohonan cerai isteri pertamanya, Puteri Sarah yang dijadualkan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Isnin depan.

Bagaimanapun, pengarah berusia 39 tahun ini enggan mengeluarkan sebarang ulasan kerana bimbang akan melukakan hati mana-mana pihak termasuk Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38.

“Redalah apa sahaja... mudah-mudahan begitu juga dengan isteri saya (Puteri Sarah). Doakan yang baik-baik, saya pun tak nak cakap banyak di bulan Ramadan ini,” katanya selepas prosiding kes nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Khamis.

Sementara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata, mahkamah akan dimaklumkan mengenai status rundingan JKP yang diadakan dua minggu lalu, di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI).

"Keputusan hasil pertemuan itu akan dibaca, saya tak boleh cakap sekarang sebab mahkamah akan ketahui laporan tersebut terlebih dahulu.

"Sekiranya gagal, langkah seterusnya ialah proses hakam kerabat kemudian terakhir hakam mahkamah.

"Jika masih buntu, tak boleh berdamai, wakil Syamsul akan lafaz cerai, itulah prosedurnya," katanya.

Pada 24 Mac lalu, Puteri Sarah berkata, proses JKP gagal menemui jalan penyelesaian.

Pelakon 'Andai Itu Takdirnya' berkata, tiada perkara yang perlu dirunding atau dibincangkan, kerana hatinya telah tertutup dan nekad untuk berpisah.

Untuk rekod, Syamsul atau nama penuhnya, Mohd Shamsul Md Yusof dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014, dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.