Polis tahan lelaki pecah cermin rumah bekas isteri

Tangkap layar rakaman lelaki melakukan khianat dengan memecahkan cermin pintu rumah bekas isterinya dalam kejadian di Taman Pinji Indah, Selasa lalu. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar rakaman lelaki melakukan khianat dengan memecahkan cermin pintu rumah bekas isterinya dalam kejadian di Taman Pinji Indah, Selasa lalu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah rumah hingga rakaman video tular di media sosial pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang wanita melibatkan kejadian di Taman Pinji Indah di sini pada Selasa.

"Siasatan mendapati suspek yang melakukan perbuatan pencerobohan jenayah dan khianat itu merupakan bekas suami kepada mangsa.

"Bertindak dengan maklumat itu, polis berjaya menahan lelaki berusia 46 tahun itu di Taman Ipoh di sini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Reman terhadap suspek akan dilakukan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 427 dan 477 Kanun Keseksaan.

"Dengan tertangkapnya suspek, kes berkenaan telah dianggap selesai dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu sehingga menjejaskan siasatan serta mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.