Dua maut selepas tonton perlawanan bola sepak

Perkongsian ucapan takziah yang dizahirkan di media sosial buat Allahyarham Muhammad Faiz Bazli yang maut dalam nahas tiga motosikal berhampiran susur keluar Lebuhraya Utara Selatan arah utara (Bercham-Jelapang) awal pagi Rabu. - Foto ihsan pembaca
Perkongsian ucapan takziah yang dizahirkan di media sosial buat Allahyarham Muhammad Faiz Bazli yang maut dalam nahas tiga motosikal berhampiran susur keluar Lebuhraya Utara Selatan arah utara (Bercham-Jelapang) awal pagi Rabu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Dua penyokong bola sepak Perak maut dalam nahas tiga motosikal berhampiran susur keluar Lebuhraya Utara Selatan arah utara (Bercham-Jelapang), awal pagi Rabu.

Dalam kemalangan sekitar jam 1 pagi itu, kakitangan swasta, Muhammad Faiz Bazli Abdul Hamid, 25, dan pelajar, Izzwan Syamel Denial Ismail, 18, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku semasa kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke Chemor dan Bercham selepas menyaksikan perlawanan antara Perak dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, nahas turut mengakibatkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun cedera di bahu dan luka di kaki serta tangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku selepas motosikal jenis Yamaha yang ditunggangi kedua-dua mangsa bergesel lalu terbabas.

"Kejadian mengakibatkan motosikal ditungangi seorang pelajar dari arah sama tidak sempat mengelak dan hilang kawalan sebelum terbabas sendiri," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang mengalami kecederaan.

Katanya, polis kini sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menzahirkan ucapan takziah atas kemalangan meragut nyawa melibatkan penyokong pasukan itu.

Katanya, Perak FC amat menghargai sokongan peminat The Bos Gaurus yang hadir setiap minggu menyaksikan perlawanan.

"Saya mewakili pihak pengurusan, barisan jurulatih dan pemain menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan keluarga mangsa tabah menghadapi ujian besar ini," katanya.

Perlawanan saingan Liga Super semalam berkesudahan dengan Perak FC tewas 0-5 kepada JDT.