408 permohonan permit jual mercun, bunga api di Perak

Mohd Yusri (tiga dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai sempena Program High Profile Policing (HPP) di bazar Ramadan pekarangan Stadium Perak di Ipoh pada Rabu.
Mohd Yusri (tiga dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai sempena Program High Profile Policing (HPP) di bazar Ramadan pekarangan Stadium Perak di Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Polis Perak menerima 408 permohonan daripada peniaga di negeri ini bagi penjualan mercun dan bunga api sempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah itu, 174 permohonan telah diluluskan manakala 230 lagi masih dalam tindakan.

Menurutnya, setakat ini terdapat empat permohonan ditolak atas alasan tidak mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kita mendapat begitu banyak permohonan permit bagi tujuan penjualan ini.

"Ada permohonan permit tidak diluluskan kerana apabila semakan dibuat didapati, pemohon mempunyai rekod jenayah lampau selain lokasi tidak sesuai untuk mereka menjual mercun dan bunga api," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita sempena Program High Profile Policing (HPP) di bazar Ramadan pekarangan Stadium Perak di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen.

Mohd Yusri berkata, sehingga 4 April, tiga kes tangkapan telah direkodkan membabitkan rampasan mercun dan bunga api bernilai lebih RM40,000.

Katanya, tangkapan ke atas peniaga tempatan itu dilakukan atas kesalahan pemilikan bunga api dan mercun tanpa permit yang sah.

"Tiga kes ini melibatkan tangkapan di Ipoh dengan nilai rampasan RM10,000, Taiping (RM25,000) dan Kampar (RM5,500)," katanya.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan tahap keselamatan dan ketenteraman operasi di semua bazar Ramadan di seluruh negeri.

Katanya, pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) telah digerakkan secara serentak di semua lokasi bazar bagi memastikan tahap keselamatan pengunjung dan peniaga terjaga.

"Kita tidak menerima sebarang laporan berkenaan kes-kes jenayah yang berlaku di bazar, semua dalam keadaan baik dan lancar," katanya.