Pearly bergelut kelesuan upaya, kembali ceria berlatih

Pearly (kiri) mengalami keletihan melampau selepas pulang daripada tiga kejohanan di Eropah bulan lalu. - Foto Agensi
Pearly (kiri) mengalami keletihan melampau selepas pulang daripada tiga kejohanan di Eropah bulan lalu. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN beregu wanita utama negara, Pearly Tan yang sebelum ini bergelut dengan keletihan melampau selepas menghadapi tiga kejohanan berturut-turut di Jelajah Eropah baru-baru ini sudah kembali menjalani latihan.

Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dr Tim Jones berkata, atlet berusia 24 tahun itu turut dijangkiti virus selepas pulang dari Kejohanan Terbuka Switzerland akhir Mac lepas namun tidak menyebut jenis jangkitan berkenaan secara spesifik.

"Pearly mengalami sedikit lesu upaya selepas kembali dari Eropah. Agak sukar untuk mengenal pasti punca sebenar lesu upaya dialaminya tetapi ia mungkin akibat kombinasi kesan keputusan yang tidak memihak kepada beliau dan berjauhan daripada keluarga dan sebagainya.

"Dia juga dijangkiti virus dan perlu berehat. Ia tidak serius dan ia kadang-kadang berlaku apabila kamu kembali dari luar negara," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Baru-baru ini, atlet kelahiran Kedah itu memuat naik hantaran di laman Instagramnya dengan menulis 'Do you get a bit tired of life' bagi meluahkan perasaannya.

Bagaimanapun pada Selasa tinjauan mendapati Pearly dilihat sudah kembali bersemangat menjalani latihan di ABM bersama pasangannya, M Thinaah.

Dalam pada itu, Jones turut menyuarakan rasa lega melihat pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tampil berlatih semalam.

Pada Kejohanan Badminton All England 2023, Mac lepas Pearly-Thinaah tersingkir seawal pusingan pertama kepada pasangan Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 13-21,21-15,15-21 selain turut kalah pada Terbuka Switzerland pada pusingan sama selepas dikecewakan gandingan Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun 15-21, 21-14, 16-21.

Gandingan itu dijadualkan beraksi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 25 hingga 30 April ini.

Sementara itu, Jones pada masa sama berkata BAM tidak akan mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan pemain namun menggesa mereka agar lebih bijak dalam penggunaan kemudahan itu bagi memastikan kesejahteraan mental mereka. - Bernama