Terlelap punca lelaki maut, lori terjunam dalam laut

Dua kren digunakan bagi membantu mengeluarkan lori yang terjunam dalam laut di Terminal Maritim Lumut, Kampung Acheh, Lumut pada Rabu. - Foto Ihsan Bomba
Dua kren digunakan bagi membantu mengeluarkan lori yang terjunam dalam laut di Terminal Maritim Lumut, Kampung Acheh, Lumut pada Rabu. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

LUMUT - Pemandu lori yang dilaporkan terjatuh dalam laut bersama kenderaannya dalam kejadian di Terminal Maritim Lumut, Kampung Acheh di sini pada Rabu, disahkan maut.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu, mangsa, Rasydan Razmi, 20, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan mendapati mangsa sedang menjalankan kerja-kerja memunggah batu.

"Mangsa dipercayai terlelap hingga menyebabkan lori bergerak dan terjunam ke dalam laut. Mangsa dan lori berjaya dikeluarkan dengan bantuan dua kren.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-655 9693.

Sinar Harian melaporkan operasi menyelamat dilakukan dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor selepas menerima maklumat kejadian itu.

Lori berkenaan terjatuh dalam laut pada anggaran kedalaman 11 meter.