Tukang masak campak kotak rokok berisi dadah

Dadah-dadah ditemui di dalam kotak rokok dan bilik di sebelah sebuah kedai makan.
Dadah-dadah ditemui di dalam kotak rokok dan bilik di sebelah sebuah kedai makan.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang tukang masak warga Thailand bertindak mencampakkan satu kotak rokok berisi 52 pil kuda ketika serbuan polis di sebuah bilik bersebelahan kedai makan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, di sini, pada Selasa.

Suspek berusia 28 tahun itu kemudian berjaya ditahan semasa Op Tapis Bersepadu oleh sepasukan Narkotik Tanah Merah pada jam 10.20 malam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, polis turut menemukan 5.1 gram dadah jenis syabu, satu bungkusan air ketum 500 mililiter (ml) dan sebotol ubat batuk isipadu sama di dalam bilik berkenaan.

“Menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri dan pada masa sama mencampakkan kotak rokok ke tanah.

“Pemeriksaan di dalam kotak rokok itu mengandungi pil-pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda manakala pemeriksaan lanjut menemui dadah-dadah lain di dalam bilik berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini, pada Rabu.

Beliau memberitahu, dadah-dadah tersebut untuk kegunaan suspek sendiri dan dipercayai turut dijual kepada rakan pekerja lain di kedai itu.

“Keseluruhan rampasan dadah tersebut bernilai RM1,120.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan kerana menagih dan memiliki dadah,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Haki berkata, jumlah tangkapan warga asing terutama dari negara Thailand bersabit kesalahan dadah di daerah itu meningkat pada tahun ini.

“Bermula 1 Januari sehingga bulan lalu, tangkapan berjumlah 20 individu direkodkan berbanding 13 individu dalam tempoh sama tahun lalu.

“Mereka terlibat dalam penagihan dan pemilikan dadah,” katanya.