RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok kekang penularan vape

Pemadam bimbang penggunaan rokok elektronik atau vape menjadi di luar kawalan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Jamelah)
Pemadam bimbang penggunaan rokok elektronik atau vape menjadi di luar kawalan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Jamelah)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) yakin Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan dibentang semasa Sidang Dewan Parlimen pada Mei nanti dapat membendung penularan penggunaan vape dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengerusi Biro Wanita Keluarga dan Penawarnya, Datuk Jamelah A Bakar berkata, usaha mengekangnya adalah perlu kerana barangan tersebut merupakan pembuka jalan kepada penyalahgunaan dadah.

Jelas beliau, perkara itu jelas dilihat menerusi laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa terdapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mencampurkan bahan tersebut ke dalam cecair vape.

“Cecair ketamin, magic mushroom, pati ganja, syabu yang berselindung di sebalik perisa fruity, creamy atau free base. Ini jelas dan nyata bahawa vape berpotensi digunakan bagi penyalahgunaan pelbagai jenis dadah berbahaya.

“Pihak Pemadam merasa bimbang penggunaan rokok elektronik atau vape menjadi di luar kawalan. Pada 2019, 300,000 pelajar sekolah di seluruh negara menjadi penggunanya.

“Hari ini dilaporkan bahawa 43,019 pelajar sekolah menengah melalui kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah pengguna rokok,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Parlimen hari Selasa memberi jaminan bahawa pembentangan itu tidak akan dilengahkan dan ahli Parlimen akan diberi ruang untuk berbincang pada mesyuarat kedua Parlimen ke-15.

Dalam pada itu, Jamilah berkata, kerajaan juga perlu melihat perkembangan produk yang memudaratkan itu dengan serius memandangkan terdapat institusi skim pembiayaan perniagaan yang memberi pinjaman begitu mudah sekiranya ada pemohon yang berhasrat untuk berniaga vape.

“Pemadam yakin kerajaan Malaysia yang telah merdeka 66 tahun mempunyai kewibawaan yang tinggi untuk menggubal satu rang undang-undang khas kepada produk tembakau dan tabiat merokok serta mengiktiraf bahawa perbuatan merokok serta menghisap vape itu memudaratkan generasi muda.

“Pemadam menyeru semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara supaya menyokong Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada bulan Mei seperti yang ditegaskan Anwar di Sidang Parlimen pagi tadi (Selasa)," ujarnya.