Bayi maut lemas dalam baldi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JASIN - Seorang bayi lelaki, Muhammad Arash Zahrain Osman berusia 14 bulan dijumpai meninggal dunia di dalam sebuah baldi di rumahnya di Jalan Pangkalan Lambak, Sungai Rambai di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan, Arshad Abu berkata, pada jam 1.30 tengah hari tadi, keluarga bayi itu datang untuk mendapatkan bantuan di Klinik Kesihatan Sungai Rambai di sini mengatakan anak mereka lemas di dalam bilik air tanpa disedari ahli keluarganya.

Beliau berkata, pegawai perubatan klinik itu membuat pemeriksaan namun mendapati tiada tanda kehidupan dan tiada bantuan pernafasan awal dilakukan di rumah, seterusnya pihak klinik itu telah melakukan bantuan pernafasan selama setengah jam tetapi masih tidak berjaya menyelamatkan mangsa.

“Semasa ibu mangsa berada di bahagian belakang rumah yang berhampiran bilik air, dia terdengar bunyi air di dalam bilik air dibuka lalu bergegas ke bilik air dan dapati mangsa telah berkeadaan terlungkup di dalam baldi dengan kedua belah kaki ke atas dan bahagian kepala di dalam baldi yang mengandungi air.

Keadaan mangsa ketika itu tidak bergerak dan tiada jeritan. Ibu mangsa terus mengambil dan memeluk anaknya yang didapati telah kaku tidak bersuara lalu menyerahkan kepada suami yang datang selepas itu,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Arshad berkata, pemeriksaan secara fizikal ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang tanda kecederaan luaran, manakala tubuh badan didapati bersih dan tiada kesan kecederaan lama atau baharu.

Beliau berkata, setakat ini siasatan mendapati tiada sebarang unsur perbuatan jenayah dilakukan ke atas mangsa dan siasatan awal dijalankan di bawah laporan mati mengejut.

“Mayat mangsa akan dihantar ke bilik mayat hospital pakar Sultanah Fatimah, Muar Johor untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: