Eilisha sahut cabaran ibu

Eilisha. Foto Bernama
Eilisha. Foto Bernama
A
A
A

"JANGAN sesekali menyesali keputusan anda untuk meneruskan aktiviti terjun, tetapi ingat ia tidak selalunya mudah". Itulah kata-kata daripada bekas atlet terjun wanita Sarawak Victory Emmy, 39, kepada anak perempuannya yang juga atlet terjun muda negara, Eilisha Rania Abrial Rajagopal.

Eilisha baharu berusia tujuh tahun ketika dia menyahut cabaran ibunya itu tanpa mengetahui bagaimana masa depannya dalam arena sukan terjun.

"Semuanya bermula apabila saya dipilih menjadi penerjun ketika sekolah rendah. Ibu dan jurulatih bertanya sama ada saya benar-benar minat sukan terjun dan saya jawab ya," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan Malaysia (MIAG) ke-58 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sejak itu, atlet berusia 17 tahun ini berdepan jatuh bangun ketika dia berusaha tanpa lelah untuk cuba mencipta nama sebagai penerjun negara.

Selain ibunya, Eilisha turut berterima kasih kepada bapanya Abrial Rajagopal, 43, yang disifatkan sebagai tonggak kekuatannya.

Penerjun kelahiran Kuching, Sarawak itu pernah hampir berputus asa, namun bapanya terus mendorongnya untuk meneruskan perjuangan.

"Saya hampir menarik diri daripada mewakili Sarawak pada Sukma (Sukan Malaysia) 2016, tetapi bapa mendorong saya untuk bertanding. Saya tidak pernah menyangka boleh memenangi dua pingat pada penampilan pertama di sana," katanya.

Pada temasya itu, Eilisha merangkul pingat gangsa pada acara 10 meter (m) platform wanita dan pingat emas menerusi acara 10m platform seirama wanita dengan seorang lagi atlet terjun negara Kimberly Bong.

Selepas membuat kemunculan semula daripada kecederaan lutut yang dialaminya pada 2021, Eilisha kini berhasrat untuk beraksi lagi.

Justeru, beliau berharap dapat membawa pulang pingat emas dalam acara 10m platform wanita pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja nanti.

"Persediaan saya untuk Kemboja kini 80 peratus. Saya harap dapat lakukan dengan baik dalam penampilan pertama saya di Sukan SEA," katanya dan menambah beliau turut bercita-cita untuk layak ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat. - Bernama