Hasnol Zam Zam dilantik KSU Kementerian Kerja Raya

Hasnol Zam Zam
Hasnol Zam Zam
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya berkuat kuasa pada Selasa, umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Hasnol Zam Zam, 56, sebelum ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Mohd Zuki dalam kenyataan pada Selasa berkata, pelantikan Hasnol Zam Zam adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang antaranya pengurusan sumber manusia serta pengurusan korporat.

"Saya berkeyakinan penuh beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan visi kementerian untuk menerajui pembangunan infrastruktur dan industri pembinaan negara,” katanya.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perancangan Bandar dari Universiti Utah, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Perancangan Bandar dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat, Hasnol Zam Zam menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1992. - Bernama