Makmal haram dibongkar, lebih RM5 juta dadah dirampas

Mohd Yusri menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan makmal haram dadah di Pantai Remis, Manjung pada Sabtu lalu.
Mohd Yusri menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan makmal haram dadah di Pantai Remis, Manjung pada Sabtu lalu.
A
A
A

IPOH - Polis Perak membongkar kegiatan makmal haram dan merampas hampir 80 kilogram dadah dianggarkan bernilai RM5.5 juta dalam dua serbuan di Pantai Remis, Manjung pada Sabtu.

Dalam serbuan antara jam 7 pagi dan 3.30 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warga Vietnam berusia lingkungan 32 hingga 39 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak awal 2022 dengan menjadikan kediaman sendiri dan rumah sewa sebagai tempat memproses dan membungkus dadah.

Menurutnya, setiap dadah yang siap diproses dan dibungkus itu digunakan untuk diedarkan di pasaran tempatan di seluruh negeri.

"Dalam serbuan pertama, kita menjumpai 245 biji pil ecstasy dan 1.22 kilogram serbuk disyaki dadah jenis ecstasy bernilai RM95,043. Turut ditahan empat individu yang bertindak sebagai pekerja.

"Tangkapan ini membawa kejayaan kepada serbuan kedua di sebuah rumah di kawasan Panchor, Pantai Remis," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan di rumah itu menemui 11,838 biji pil ecstasy dengan anggaran berat 5.59 kilogram, 38.3 kilogram serbuk dan 31.3 kilogram cecair dadah disyaki ecstasy.

Katanya, turut dijumpai daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 2.05 kilogram, ketulan kristal disyaki methamphetamine (844 gram) dan dadah disyaki heroin (162 gram) dengan nilai keseluruhan RM5.42 juta.

"Polis juga merampas bahan-bahan kimia dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja memproses dan membungkus dadah.

"Tindakan sita dilakukan ke atas tiga kenderaan mewah antaranya Ford Mustang, seutas rantai dan cincin dianggarkan bernilai lebih RM763,693," katanya.

Tiga kenderaan antaranya Ford Mustang turut disita dalam serbuan makmal haram dadah di Pantai Remis, Manjung pada Sabtu lalu.
Tiga kenderaan antaranya Ford Mustang turut disita dalam serbuan makmal haram dadah di Pantai Remis, Manjung pada Sabtu lalu.

Mohd Yusri berkata, saringan awal air kencing dijalankan mendapati, keempat-empat suspek positif dadah jenis amphethamine.

Ujarnya, semakan rekod mendapati lelaki yang ditahan mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah.

"Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 8 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.