Projek pelaburan China-Malaysia mula akhir tahun ini - Anwar

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Projek melibatkan pelaburan China ke Malaysia dijangka bermula akhir tahun ini.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, dua syarikat melibatkan bidang automotif sudah merancang untuk melancarkan program seawal bulan depan.

"Syarikat awal iaitu Geely akan hadir pada awal bulan depan dan ia disahkan oleh Proton untuk melaksanakan program di Tanjung Malim selain (program) yang sedia ada.

"Geely hanya mengembangkan projek asal kepada EV (kenderaan elektrik) dan lain-lain.

"Jadi apa yang telah diputuskan (projek pelaburan) melibatkan syarikat-syarikat yang dipantau oleh MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsan dan Industri) dan kerajaan China iaitu syarikat melaksana (mula) akhir tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan," katanya ketika sesi pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN - Kubang Pasu) yang ingin mengetahui bila pelaburan akan dilaksanakan serta jumlah peluang pekerjaan yang dijangka mampu diwujudkan.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, sejumlah 35,000 peluang pekerjaan dijangka dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat hasil pelaburan berkenaan.

“Tetapi saya tidak fikir ia akan berlaku serta-merta, tetapi di peringkat awal yang diperlukan oleh Proton ialah 1,500 dan syarikat-syarikat lain belum menyebut tentang jumlah pekerjaan.

“Sebab itu saya minta syarikat-syarikat ini pastikan mengambil anak-anak tempatan dan menyediakan program latihan. Geely juga bersetuju untuk membawa 300 orang anak tempatan ke China untuk latihan pengkhususan,” ujarnya.