Lebih 800 asnaf terima lauk percuma sepanjang Ramadan

Zurawati (kiri) menyediakan lauk untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf.
Zurawati (kiri) menyediakan lauk untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 840 asnaf di negeri ini terus menerima lauk percuma daripada Kelab Santuni Asnaf Kelantan (Kesan) sepanjang Ramadan tahun ini walaupun kos bahan mentah makanan meningkat berbanding tahun lalu.

Pengasas Kesan, Zurawati Zulkifli bagaimanapun berkata, pihaknya turut berdepan cabaran untuk menampung keseluruhan kos sebanyak 900 ekor ayam dan 1,350 kilogram (kg) yang diperlukan dalam tempoh sebulan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga terpaksa mengehadkan daripada tiga jenis lauk yang diberikan pada tahun lepas kepada satu lauk utama pada tahun ini.

“Kami memerlukan RM3,000 sehari untuk menampung penyediaan lauk kepada asnaf yang terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan golongan miskin yang berkeluarga.

“Ada yang mempunyai anak daripada dua sehingga 10 orang dan lauk akan diagihkan mengikut kepala,” katanya ketika ditemui di Tanjung Mas di sini pada Isnin.

Zurawati (tengah) bergambar bersama tenaga kerja yang membantu memasak lauk berbuka untuk asnaf.
Zurawati (tengah) bergambar bersama tenaga kerja yang membantu memasak lauk berbuka untuk asnaf.

Beliau berkata, pihaknya menerima sumbangan individu dan badan-badan bukan kerajaan untuk tujuan itu dan antara menu yang disediakan ialah sup, masak kicap, masak merah dan tomyam.

“Pada tahun lepas kami dapat memberi lauk utama ini bersama sayuran dan buah-buahan tetapi malangnya kali ini kos melambung tinggi.

“Kami masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk berkongsi rezeki dan memberi zakat kepada golongan ini menjelang Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Che Yam Che Awang, 56, berkata, sudah memasuki tahun keempat menerima makanan untuk berbuka puasa daripada Kesan.

“Menu-menu yang disediakan jarang dapat dimakan pada waktu-waktu biasa.

“Hanya ketika Ramadan, saya dan empat anak dapat merasa makan yang sedap-sedap,” katanya.